Pendidik merupakan seseorang yang sangat mulia, bahkan dimuliakan di sisi agama Islam. Sesiapa yang memuliakan pendidik bererti ia memuliakan Rasulullah SAW, sesiapa yang memuliakan Rasulullah SAW bererti memuliakan Allah SWT, dan sesiapa memuliakan Allah SWT, maka syurgalah tempat kediamannya di akhirat kelak.
Dalam kitabnya ‘Ihya’ `Ulum al-Din’ karangan Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu, dan salah satu daripadanya adalah memuliakan pendidik lantaran saratnya ilmu dan kebijaksanaannya yang memberikan manfaat kepada kehidupan anak-anak muridnya.
Begitu mulia darjat seorang pendidik di sisi agama, namun tidak sesekali seorang pendidik itu memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya secara materialistik. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan terbilang pencapaian akademiknya dan akhirnya mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Kerjaya sebagai pendidik ini mempunyai nilainya yang unik dan tersendiri. Menjadi pendidik bukanlah tugas yang mudah dan menuntut kecekalan dan semangat mendidik yang tinggi. Ini adalah kerana pendidik merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa.
Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehinggalah kepada formula saintifik dan teks kesusasteraan, para pendidik tidak akan jemu-jemu menaburkan bakti tanpa mengira penat dan lelah. Begitu juga peranan pendidik sangat-sangat signifikan dalam usaha membentuk dan membina konsep negara bangsa dalam kalangan generasi pelapis negara di masa hadapan.
Menurut takrifan Kamus Dewan, konsep ‘Negara Bangsa’ didefinisikan sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Ini selanjutnya memberikan maksud bahawa pembinaan negara bangsa pula adalah merupakan satu proses mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ atau perasaan ‘kekitaan’ dalam kalangan semua penduduk sesebuah negara yang merentasi kepelbagaian jati diri etnik, agama, dan budaya.
Natijahnya, melalui konsep negara bangsa ini, semua masyarakat mendukung satu bangsa dan satu negara yang tegak di atas satu identiti negara yang sama yang dimanifestasikan oleh pemikiran, nilai-nilai sosio-budaya, lambang-lambang dan sentiasa berpegang kepada jiwa kemanusiaan dan kerohanian yang tinggi.
Pembentukan bangsa Malaysia boleh diukur dari tiga perspektif utama iaitu, pertama melalui aspek kenegaraan, kedua adalah aspek kewarganegaraan dan yang ketiga adalah aspek kebangsaan.
Konsep kenegaraan perlu ditanam dan dipupuk dalam diri setiap rakyat negara itu demi keutuhan negara sebagai kumpulan sosial. Semangat kenegaraan ini boleh ditanam melalui simbol-simbol yang mewakili keutuhan negara seperti bendera Malaysia, lagu kebangsaan, Rukun Negara, dan sebagainya.
Konsep kewarganegaraan pula dapat diperjelaskan bahawa bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain dapat disatukan melalui kewarganegaraan yang sama iaitu warganegara Malaysia. Untuk itu, dalam usaha membentuk jatidiri negara bangsa dalam kalangan anak-anak murid, seorang pendidik itu perlu memikirkan apakah agaknya martabat kependidikan yang ingin ditonjolkan dalam kerjaya mereka.
Seperti mana dalam pandangan bijak pandai Islam, terdapat empat martabat pendidik atau pendidik. Pertama, sebagai Mudarris atau pendidik yang hanya mengajar mata pelajaran kemahiran mereka sahaja. Kedua, sebagai Mu’allim yang bermaksud pendidik yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain. Ketiganya Mursyid yang bermaksud pendidik yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar. Akhirnya, martabat pendidik yang keempat, Murabbi yang bermaksud pendidik yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didiknya menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.
Sebagai seorang pendidik yang realistik keempat-empat ciri di atas hendaklah difahami dan dihayati di dalam kehidupannya sebagai pendidik dan jika tugas ini dapat direalisasikan dalam pendidikannya maka kedudukan seseorang pendidik itu sungguh mulia dan diyakini akan memberikan kesan yang sangat positif dalam usaha pembentukan negara bangsa dalam kalangan anak-anak murid yang bakal mencorak kepemimpinan negara pada masa hadapan.
Sesungguhnya, peranan pendidik dalam pembinaan negara bangsa adalah sangat penting dan relevan kerana mereka sangat dekat dengan jiwa anak-anak bangsa. Untuk negara mencapai tahap kemajuan yang berperadaban tinggi dan pembinaan negara-bangsa yang bersepadu berlandaskan acuannya yang tersendiri negara memerlukan strategi dan pelan pembangunan yang baru mengikut kesesuaian zaman dan masa.
Di sinilah daya upaya pendidik sebagai agen perubahan yang berkesan perlu dititikberatkan kerana strategi pembangunan negara bukan hanya setakat memfokuskan kepada pembangunan material dan pendidikan semata-mata, tetapi ia harus seiring dengan pendidikan dan pembangunan spiritual dan rohani setiap isi rakyat di Malaysia agar kemajuan dapat dicapai dan dinikmati oleh generasi masyarakat Malaysia di masa akan datang.
Penulis ialah anak jati Gemereh, Segamat dan berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan dalam Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.
Comments