LABIS – Pemilik kenderaan yang melakukan sebarang pengubahsuaian kenderaan dinasihatkan agar melaporkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh tujuh hari bagi mengelakkan tindakan tegas diambil terhadap mereka.
Pengarah Kejuruteraan Automotif JPJ, Datuk Ir. Mohamad Dalib berkata, selain pemilik boleh disaman, kenderaan yang diubahsuai tanpa dimaklumkan kepada JPJ boleh disita di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Semua anggota JPJ yang melakukan rondaan ketika ini turut dilengkapi dengan peralatan bagi mengesan maklumat setiap kenderaan dan jika mereka mendapati sesebuah kenderaan sudah diubahsuai serta berbeza dengan daftar yang direkodkan, tindakan akan diambil.
“Justeru saya mengingatkan pemilik yang melakukan sebarang pengubahsuaian termasuk menukar warna kenderaan agar melaporkan segera kepada kami bagi mengelakkan dikenalan tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Parlimen Labis di Dewan Majlis Daerah Labis (MDL), baru-baru ini.
Menurutnya, kerajaan turut menanggung kerugian sebanyak RM1.2 juta setiap tahun akibat kejadian kemalangan maut yang berlaku di seluruh negara meliputi pelbagai kos bagi setiap kematian.
“Bayangkan berapa banyak kerugian yang dialami kerajaan setiap tahun apabila jumlah purata kematian disebabkan kemalangan jalan raya yang dicatatkan setiap tahun adalah seramai 7,000 mangsa.
“Jumlah kerugian tersebut tidak termasuk kemalangan yang tidak menyebabkan kematian dan kerosakan harta benda dan jumlah ini boleh dikurangkan jika pengguna dapat menanamkan budaya mematuhi peraturan jalan raya ketika berada di atas jalan raya,” katanya.
Pada masa sama, program SKSJ ini diwujudkan khusus untuk membantu mereka yang berumur 45 tahun ke atas di kawasan luar bandar serta Orang Asli yang berusia 21 tahun ke atas memiliki lesen memandu motosikal kelas B2 dengan kos yang lebih rendah.
Menurutnya, program ini juga dilihat sebagai wadah untuk mendekatkan JPJ dengan masyarakat setempat selain memberi kemudahan kepada golongan tertentu bagi memudahkan mereka memperolehi lesen kenderaan.
“Sejak pertama kali diadakan pada tahun 2005, seramai 123,746 warga emas telah mendapat manfaat daripada program tersebut diseluruh negara semrntara di Johor pula seramai 13,197 orang.
“Pada hari ini, seramai 137 warga emas berbilang kaum termasuk Orang Asli telah menerima lesen motosikal B2 sepanjang tiga bulan program ini berlangsung di Parlimen Labis,” katanya.
Comments