SEGAMAT – Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli melawat mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun, di sini, tengahari tadi.
Baginda yang tiba pada pukul 12.45 tengahari diiringi oleh Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad; Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim dan ketua-ketua jabatan di daerah ini.
Dalam lawatan singkat selama 20 minit itu, baginda sempat beramah mesra dengan mangsa yang berada di pusat pemindahan tersebut sejak petang kelmarin dan menyampaikan bungkusan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 49 keluarga.
Sementara itu, Tee Yong berkata, beliau menyifatkan lawatan keluarga diraja Johor itu ke pusat pemindahan ini melambangkan keprihatinan baginda terhadap nasib dan keadaan rakyat di negeri ini.
“Jelas keprihatinan yang ditunjukkan baginda ini diwarisi daripada Sultan Johor sendiri, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang hari ini (semalam) tur u berkunjung ke pusat pemindahan di Kota Tinggi.
“Keceriaan juga jelas terpancar di wajah mangsa-mangsa banjir ini dan saya berharap dalam masa terdekat ini mereka akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Bagi mangsa banjir, Abdul Sukor Jaafar, 56 dia menyifatkan kunjungan diraja itu sedikit sebanyak membawa sinar keceriaan selepas rumahnya di Kampung Lembah Bakti, di sini, ditenggelami air, petang semalam.
Menurutnya, dia dan isterinya, Nani Omar, 41, berpindah ke pusat pemindahan tersebut kira-kira pukul 7.15 petang semalam menggunakan lori Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa.
“Memang rumah kami selalu dinaiki air kerana terletak di kawasan rendah dan banjir pada kali ini mengingatkan saya banjir besar yang berlaku pada tahun 2006 dan 2011.
“Air naik terlalu cepat kali ini dan apa yang menyukarkan saya, hanya saya seorang sahaja yang mengemas rumah kerana isteri menghidap kanser payudara dan tidak boleh mengangkat berat,” katanya.
Comments