SEGAMAT – Sebanyak 200 pemilik motosikal dikalangan remaja dan belia tidak melepaskan peluang menukar minyak hitam motosikal percuma anjuran Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dun Kemelah, baru-b aru ini.
Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, program kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti (SRCC) Parlimen Sekijang itu juga bertujuan membantu penunggang motosikal dengan meringankan sedikit beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Menerusi program sebegini, kita juga berpeluang mendekati dan memahami golongan remaja dan belia serta seterusnya dapat membantu menjauhkan mereka daripada kegiatan yang tidak berfaedah seperti merempit dan penyalahgunaan dadah.
“Selain itu, program ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan sedikit beban mereka dalam penjagaan motosikal di samping mendidik mengenai kaedah tunggangan yang selamat semasa di jalan raya,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga bercadang mengadakan program seumpama itu dengan lebih kerap pada masa akan datang dan berharap penyertaan bukan sahaja terdiri daripada golongan remaja, sebaliknya semua peringkat umur dan kaum.
“Saya harap program sebegini dapat diadakan dengan lebih kerap kerana selain memberikan faedah dari segi kos penyelenggaraan motosikal, malah memberi peluang berkenalan dengan lebih ramai rakan sebaya.
“Sebagai pemimpin saya amat berbesar hati menyahut seruan anak muda terutama sekali pandangan anak muda terhadap transformasi nasional 50 (TN50) yang ingin melihat bagaimana mereka boleh dijadikan masyarakat yang paling baik pada masa akan datang,” katanya.
Comments