LABIS – Sebanyak tujuh buah sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di daerah ini menerima kit pertanian iaitu ‘nutri pot’ dan Portable Nutrient Film Technique (NFT) sumbangan Jabatan Pertanian Johor.
Pegawai Pelajaran Daerah Pendidkan Khas Segamat, Masnawi Shamsuddin berkata, ilmu pertanian dan berkebun juga merupakan salah satu mata pelajaran yang perlu dipelajari oleh murid-murid berkeperluan khas selain asas masakan.
“Sebenarnya, teknik serta kaedah perkebunan dan pertanian membolehkan insan-insan istimewa ini boleh berdikari tanpa mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada ahli keluarga dan masyarakat.
“Ilmu pertanian bagi pelajar pendidikan khas ini bukan sahaja membantu menambahkan ilmu murid istimewa ini tetapi sebagai satu jaminan untuk mereka meneruskan hidup berdikari apabila tamat persekolahan.nanti,” katanya.
Beliau ditemui semasa Majlis Penyerahan Set Fertigasi Nutri Pot dan NFT Jabatan Pertanian Johor kepada PPKI Daerah Segamat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labis, di sini.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Johor, Farahain Isa dan Pengetua SMK Labis, Masrom Sathi.
Menurutnya, di antara sekolah yang menerima kit pertanian ini ialah SMK Labis; SMK Felda Pemanis, SMK Felda Maokil, SMK Datuk Bentara Dalam dan selebihnya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Buloh Kasap, SK Pogoh dan SK Pekan Air Panas.
Katanya, objektif utama program ini juga memfokuskan kemenjadian pelajar pendidikan khas bagi membolehkan mereka menguruskan diri sendiri dengan bertani selepas tamat persekolahan tanpa bantuan orang lain.
Sementara itu, Farahain berkata, program yang julung kali diadakan ini merupakan peruntukkan daripada Pejabat Menteri Besar Johor dan Jabatan Pertanian Johor telah dipilih sebagai penyelaras.
“Secara keseluruhan, 118 sekolah termasuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negeri ini menerima kit pertanian ini dan kaedah nutri pot dan NFT ini juga amat mudah digunakan oleh semua pihak termasuk pelajar pendidikan khas.
“Antara sayuran yang boleh ditanam menggunakan kaedah ini adalah seperti cili, sawi, terung dan sebagainya selain tidak memerlukan kawasan yang luas berbanding kaedah konvensional dan hanya menggunakan takungan air,” katanya.
Menurutnya, tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran berdaun dan tanaman hiasan semusim boleh ditanam terus menggunakan biji benih manakala tanaman jangka panjang seperti sayuran berbuah dan ulaman perlu menggunakan benih anak pokok.
Comments