SEGAMAT – Tujuh sekeluarga hanya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah sewa yang mereka duduki hampir 25 tahun musnah dalam kebakaran di Jalan Meriyani, Kampung Jawa, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Maya Suzila Hashim, 25, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi apabila kakaknya, Juliana, 31, terdengar bunyi bising yang datang dari arah bengkel kayu bapanya, Hashim Sulaiman, 54, yang terletak di belakang rumahnya.

“Ketika kejadian kami semua sedang tidur di bilik masing-masing dan hanya tersedar apabila kakak (Juliana) menjerit meminta kami semua menyelamatkan diri kerana api sedang marak di bahagian dapur.

Hashim (tengah) melihat keadaan rumahnya yang hangus bersama anak, menantu dan cucunya
Hashim (tengah) melihat keadaan rumahnya yang hangus bersama anak, menantu dan cucunya

“Saya segera mencari kunci pintu hadapan rumah untuk menyelamatkan diri sebelum yang lain mengalihkan dua kereta dan tiga motosikal yang diletakkan di hadapan rumah di kawasan yang selamat,” katanya kepada Komuniti Segamat, pagi tadi.

Menurutnya, suami, bapa dan abang iparnya juga cuba memadamkan kebakaran tersebut bnamun tidak berjaya kerana api terlalu marak sementara dia bersama kakaknya cuba menenangkan tiga anak saudaranya yang berumur di antara lapan hingga 12 tahun.

Katanya, mereka juga tidak sempat menyelamatkan barangan berharga seperti dokumen pengenalan diri, geran-geran kenderaan dan pakaian selain hanya mampu melihat rumah mereka hangus dalam masa tidak sampai setengah jam.

“Kami sepatutnya berpindah keluar daripada rumah ini pada awal bulan September ini kerana sudah mendapat rumah sewa yang lagi sesuai di Kampung Padang Lalang dan tuan rumah juga telah dimaklumkan mengenai kebakaran ini.

“Habis semuanya hangus terbakar, malah kehadiran anggota bomba beberapa minit kemudian juga hanya mampu memadamkan kebakaran sahaja dan kini rumah tempat saya membesar hanya tinggal bara sahaja,” katanya.

Keadaan rumah yang hangus
Keadaan rumah yang hangus

Menurutnya, buat sementara ini, kesemua mereka akan menumpang di rumah kakak sulungnya, Nurfiana di Taman Jenalim, di sini, sehingga keadaan kembali stabil selain sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Katanya, tragedi tersebut juga dianggap bagi satu dugaan berat bagi mereka sekeluarga apabila ibunya, Yanda Yani Dukut, 53, juga disahkan menghidap penyakit kanser rahim tahap dua pada 1 Mac lalu.

“Ibu sekarang berada di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru (HSIJB) bagi menjalani rawatan radioterapi dan dia juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan dia meminta kakak sulung saya mengambilnya di hospital hari ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Sekijang, Mohd Redzuan Yunos berkata, sumbangan awal telah disampaikan terhadap keluarga mangsa selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberikan bantuan seperti tikar dan pakaian.

Pada masa sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Mohd Aizad Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada 5.04 pagi sebelum dua jentera dan 11 anggotanya dikejarkan ke kawasan kejadian.

“Ketika kami tiba, hampir 80 peratus keadaan rumah telah hangus terbakar dan kami sempat mengawal api daripada merebak ke rumah jiran berhampiran selain berjaya memadamkan api sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian.

“Punca kebakaran juga sedang disiasat oleh pasukan forensik bomba selain menganggarkan jumlah kerugian awal bernilai kira-kira RM40,000,” katanya.

(Visited 2,779 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!