SEGAMAT – Angin kencang beserta hujan lebat yang melanda daerah ini petang semalam mengakibatkan beberapa buah rumah kedai dan rumah peneroka di Felda Pemanis 1 dan Felda Pemanis 2, di sini, mengalami kerosakan.

Salah seorang mangsa, Mohd Hashim Maharan, 63, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, dia bersama isterinya, Tijah Germinah, 55, sedang berehat di ruang tamu mereka sementara menunggu untuk menunaikan solat Maghrib.

Mohd Hashim (kanan) menceduk air yang terdapat di biliknya sambil dibantu oleh Sabtu
Mohd Hashim (kanan) menceduk air yang terdapat di biliknya sambil dibantu oleh Sabtu

“Ketika saya hendak bersiap untuk solat, tiba-tiba kedengaran bunyi angin kuat disusuli dengan bunyi objek patah di dalam bilik menyebabkan kami menjadi panik kerana tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya dapat dengar dengan jelas atap asbestos rumah saya seperti diangkat sebelum pecah ke lantai dengan disusuli hujan lebat sebelum mendapati sebahagian bumbung rumah telah diterbangkan angin,” katanya.

Menurut bapa kepada tujuh anak itu, anak keduanya, Mohd Fadli, 32, juga boleh dikira bernasib baik apabila serpihan bumbung tersebut yang mengenai kepalanya ketika dia sedang berehat di bilik tidak mendatangkan kecederaan parah.

Katanya, dia yang dibantu oleh Mohd Fadli segera menyelamatkan barangan berharga di dalam bilik rumahnya seperti tilam dan pakaian daripada dibasahi oleh air hujan selain mendapati bumbung di ruang tamunya juga turut retak disebabkan kejadian ribut berkenaan.

“Ini merupakan kejadian ribut pertama di rumah ini sejak saya menjadi peneroka 33 tahun lalu dan saya juga belum menganggarkan berapa jumlah keseluruhan kerugian rumah saya ini kerana masih sibuk mengemas barangan.

“Bagaimanapun, bumbung rumah saya perlu diganti segera kerana jika tidak jumlah kerugian mungkin akan bertambah lagi besar dan saya bersyukur walaupun ditimba musibah, keluarga saya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sahad Ahmad
Sahad Ahmad

Bagi Sahad Ahmad, 64, berkata, dia yang sedang sibuk menolong mangsa ribut juga tidak menyangka rumahnya turut mengalami kerosakan apabila sebahagian besar bumbung ruang tamu rumahnya sudah diterbangkan angin.

Menurutnya, anak bongsunya, Mohd Adnan, 30, yang tinggal di rumah tersebut bersama isterinya juga gagal menghubunginya kerana mengalami masalah gangguan telekomunikasi selain anaknya sibuk menyelamatkan barang-barang berharga di rumah mereka.

“Kira-kira 50 keping zink rumah telah diterbangkan angina dan syiling rumah saya juga telah rosak dan mengembang kerana terkena air hujan dan ini merupakan kejadian ribut paling buruk sekali.

“Sebelum ini rumah saya pernah beberapa kali terkena ribut namun tidak seteruk semalam dan buat sementara waktu kami tinggal di bilik belakang sehingga saya memanggil orang untuk membaiki semula bumbung yang rosak,” katanya.

Keadaan salah sebuah rumah yang rosak dilanda ribut
Keadaan salah sebuah rumah yang rosak dilanda ribut

Sementara itu, Adun Pemanis, Lau Chin Hoon berkata, beliau meminta supaya mangsa ribut segera membuat laporan polis di balai polis berhampiran sebelum mengemukakan salinan laporan dan gambar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, beliau menganggap tragedi ribut ini merupakan tragedi yang terbesar di Parlimen Sekijang untuk tahun ini dan akan membantu kesemua mangsa dalam masa terdekat selepas proses pendokumentasian selesai.

“Saya turut dimaklumkan, selain di Felda Pemanis 1, beberapa buah rumah di Felda Pemanis 2 dan Kampung Tungku Tiga juga turut dirosakkan ribut dan seperti di kawasan Felda, saya meminta agar Felda dapat membantu terlebih dahulu mangsa ribut,” katanya.

(Visited 741 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!