SEGAMAT – Kerajaan negeri Johor memberi fokus terhadap tiga perkara utama dalam usaha menjayakan konsep ‘Team Johor’ sebagai kuasa ekonomi selatan yang berjaya memenuhi hasrat rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara pertama yang digariskan adalah dengan memastikan ekonomi negeri Johor terus tumbuh dan berkembang setiap tahun dan boleh membawa kepada kemewahan material.

“Perkara kedua adalah memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh semua rakyat di setiap daerah secara saksama tanpa ada kawasan yang tercicir daripada menikmati pembangunan.

“Seterusnya perkara ketiga yang akan diberi perhatian adalah memastikan apa juga pembangunan yang dibuat mampu memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Muafakat Sekijang di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap; Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad; Adun Kemelah Datuk Ayub Rahmat dan Adun Pemanis, Lau Chin Hoon.

Menurutnya, usaha kerajaan membongkar dan membangunkan potensi yang ada di negeri ini untuk menjadikannya sebagai kuasa ekonomi selatan yang dapat menyumbang kepada kemajuan negara tidak mungkin berjaya tanpa penyertaan rakyat.

“Kerajaan pusat juga tidak perlu khuatir sekiranya kerajaan negeri kuat kerana kekuatan Johor itu sendiri disumbangkan oleh kekuatan Malaysia dan pertumbuhan ekonomi negeri turut akan membantu pertumbuhan ekonomi kebangsaan.

“Jadi, rakyat negeri ini harus berani mengambil tanggungjawab bersama-sama kerajaan untuk membangunkan potensi yang ada kerana tanpa penyertaan rakyat usaha tersebut tidak akan berjaya,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan negeri telah mengumumkan beberapa peruntukan pembangunan di Parlimen Sekijang seperti projek Agro Mix Farm atau kebun nukleus yang bernilai RM1.25 juta di persimpangan masuk Felda Pemanis, di sini.

Menurutnya, projek kebun nukleus itu juga merupakan yang pertama di negeri ini dan akan memberi fokus aktiviti-aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan di atas tanah yang berkeluasan 161 ekar.

“Sekiranya projek ini berjaya, kerajaan negeri akan meluaskan lagi projek kebun nukleus ini dan projek ternakan yang terlibat adalah lembu tenusu dan rusa manakala projek perikanan adalah ikan baung dan tilapia,” katanya.

(Visited 354 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!