SEGAMAT – Seorang warga emas di Felda Palong Timur 1, di sini, yang kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis terharu apabila penantiannya selama 27 tahun untuk memperoleh hak milik tanah di kawasan rancangan tersebut dapat ditunaikan.

Ahmad Alip, 63, berkata, dia juga tidak menyangka dapat mengambil sendiri gerah rumah dan pertaniannya memandangkan pada tahun lalu keadaannya yang disahkan oleh doktor berada dalam keadaan kritikal kerana penyakit tersebut.

“Ketika itu pak cik ditahan di Hospital Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan keadaan kaki kanan pak cik memang sudah kritikal dan perlu dipotong bagi mengelakkan kuman merebak ke bahagian badan yang lain.

“Memang sebelum ini pak cik ada penyakit kencing manis, tetapi tidak sangka pula akhirnya akan melarat seperti sekarang dan akhirnya, kaki kanan pak cik terpaksa dipotong sehingga ke atas lutut,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Dia ditemui semasa Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Kediaman dan Pertanian kepada peneroka Felda Palong Timur 1, 2 dan 3 di Dewan Perdana Putra, Felda Palong Timur 1, di sini, baru-baru ini.

Menurut suami kepada Dasiam Amin, 61 dan bapa kepada 14 anak yang berasal dari Pagoh itu, dia mula menjadi peneroka di Felda Palong Timur 1 pada tahun 1989 ketika usianya 36 tahun.

“Ketika itu, pak cik sudah mempunyai sembilan anak dan terpaksa membawa mereka sekali ke sini dan keadaan ketika itu sangat berbeza seperti sekarang dengan ketiadaan kemudahan asas yang mencukupi.

“Sebelum ini pak cik hanya melihat di televisyen dan surat khabar sahaja mengenai kegembiraan penerima hak milik tanah, tetapi hari ini tidak sangka pula pak cik giliran pak cik dan rakan-rakan lain,” katanya.

Bagi Salmah Salleh, 62, seorang ibu tunggal di Felda Palong Timur 2, berkata, kegembiraan menerima hak milik tersebut pasti akan lebih bermakna sekiranya arwah suaminya masih ada kerana suaminya yang berusaha kuat untuk membanggunkan kebun tersebut semasa hayatnya.

“Memang agak terkilan kerana saya tidak dapat berkongsi detik kegembiraan yang saya tunggu sejak 28 tahun lalu dengan suami saya Baharudeen Bahari yang meninggal ketika berusia 61 tahun pada tahun 2008.

“Walaupun saya sudah tidak mampu mengerjakan kebun ketika ini, tetapi saya akan memastikan tiga orang anak saya dapat menjaga dan mengusahakan kebun tersebut sebagai menghargai titik peluh dan usaha arwah bapanya,” katanya.

Mohamed Khaled (kiri) menyerahkan geran tanah kepada Ahmad (berkerusi roda).
Mohamed Khaled (kiri) menyerahkan geran tanah kepada Ahmad (berkerusi roda).

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya berkata, seramai 3,731 daripada 4,161 peneroka Felda di 12 tanah rancangan Felda yang terdapat di daerah ini telah menerima hak milik tanah masing-masing.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 803 penerima pada hari ini manakala selebihnya seramai 403 peneroka di Felda Pemanis 2 masih belum menerima hak milik tanah mereka dan proses tersebut juga sedang berjalan.

“Ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa menghargai kerja kuat serta kesabaran para peneroka dalam usaha mereka untuk membanggunkan kebun dan ekonomi keluarga mereka,” katanya.

(Visited 238 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!