SEGAMAT – “Karipap! Karipap! Mari beli, karipap sedap!” laungan kata-kata daripada seorang wanita warga emas yang mengayuh basikal dan menjual kuih itu dahulu biasa kedengaran di sekitar Jalan Temenggung, Jalan Muar dan sekitar bandar Segamat.
Namun, kini, warga emas tersebut, Esah Abu Bakar, 69, yang lebih dikenali dengan panggilan Mak Esah kini hanya mampu duduk di rumahnya di Jalan Temenggung, di sini, ekoran keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
“Sudah hampir dua tahun tidak meniaga karipap dan kuih muih selepas mata kanan disahkan menghidap penyakit glukoma pada tahun 2014 sebelum semakin melarat pada tahun lalu.
“Sepatutnya kena jalani pembedahan di Hospital Daerah Segamat (HDS) pada tahun lalu, namun beberapa hari sebelum dibedah, mata meletup dan doktor kata mata ini tidak boleh diselamatkan lagi dan disahkan buta,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, sebelum dikesan dengan penyakit tersebut, doktor mengesyaki Mak Esah menghidap kanser darah dan terpaksa menguruskan dirinya seorang diri kerana ketika itu empat anaknya masih menuntut di universiti awam.
Katanya, dia juga mengambil masa untuk bertarung dengan penyakitnya itu dan ramai juga yang tidak mengetahui sebenarnya mata kirinya tidak boleh melihat kerana mengalami penyakit ‘buta celik’ sejak kecil.
“Selama ini orang ingat kedua-dua mata ini boleh melihat dengan jelas sedangkan mata kiri ini memang tidak boleh melihat sejak dulu lagi.
“Bagaimanapun, selepas seminggu mata kanan disahkan buta, secara perlahan-lahan mata kiri pula boleh melihat walaupun tidak jelas dan bersyukur kerana ini adalah tanda kebesaran ALLAH,” katanya lagi.
Menurutnya, dia yang redha dengan kehidupannya kini mengakui masalah matanya itu berkemungkinan berpunca daripada terkena habuk dan cahaya matahari terlalu lama sewaktu dia aktif menjaja kuih-muihnya dahulu.
Katanya, dia juga merindui aktiviti hariannya seperti menjaja kuih seperti donat, karipat, dan vadei dengan menaiki basikal dan laungan ‘mari beli karipap dan kuih sedap’ sengaja direka bagi mencipta kelainan dan menarik minat pembeli.
“Sekarang tidak buat kuih lagi untuk meniaga sebab takut orang geli dengan kuih yang dibuat kerana Mak Esah memang pentingkan kebersihan dan sekiranya buat kuih pun, buat untuk makan sendiri sahaja.
“Mak Esah pun tak tahu di mana kesedapan kuih itu tapi ramai yang kata sedap dan ada beberapa pembeli yang meminta meniaga lagi tapi apakan daya keadaan tidak mengizinkan,” katanya.
Menurutnya, selepas berpisah dengan suaminya tidak beberapa lama dahulu, Mak Esah gigih menjaja kuih untuk menyekolahkan dan menyara empat anaknya sehingga kesemuanya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Sementara itu, rakan sekolahnya, Natrah Ismail, berkata, dia yang bersekolah bersama Mak Esah di Canossian Convent Segamat pada tahun 1967 mengakui sahabatnya itu merupakan seorang yang gigih dan berjiwa kental.
“Walaupun sakit, dia masih melayan tetamu yang datang ke rumahnya dengan bersungguh-sungguh dan masih mengingati semua peristiwa ketika zaman persekolahan dahulu yang terlalu banyak nostalgia.
“Mungkin selepas ini saya akan berusaha untuk mengumpulkan semua rakan-rakan sekolah bagi membantu Mak Esah dan mungkin jika dia dapat berjumpa semula rakan-rakan lama, mampu menaikkan semula semangatnya,” katanya.
Comments