LABIS – Peluang untuk belajar bidang agama terbuka luas khususnya di negeri Johor dan alasan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah agama kerana tidak mempunyai silibus akademik yang kukuh tidak boleh diterima.
Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, beliau mahu masyarakat terutama ibu bapa mengikis tanggapan bahawa sekolah agama sebagai pendidikan kelas kedua berbanding sekolah kebangsaan dan menengah.
“Sekolah agama yang terdapat di negeri ini merupakan tempat terbaik untuk kanak-kanak menimba ilmu agama dan masyarakat harus mengikis sebarang anggapan yang boleh merendahkan tahap pendidikan di sekolah tersebut.
“Kecemerlangan dalam ilmu akademik juga harus seiring dengan penguasaan ilmu agama kerana ilmu agama merupakan jaminan terhadap perilaku serta tindakan yang berlandaskan ajaran agama apabila anak-anak ini dewasa kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah-Sekolah Agama di Parlimen Labis di Dewan Majlus Daerah Labis (MDL), di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Islam Daerah Segamat, Faiz Rohani; Penghulu Mukim Labis, Mohd Sabri Nazari dan Mansor Birat.
Pada masa sama, kerajaan negeri melalui Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) juga perlu memastikan penilaian terhadap kurikulum dan kitab yang digunapakai sentiasa dilakukan secara berjadual sekurang-kurangnya setiap lima tahun sekali.
“Ini bagi memastikan kualiti kurikulum yang digunakan diyakini dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak sekaligus kredibiliti pelajar lulusan sekolah agama ini sentiasa menjadi buruan mana pihak.
“Selain itu, proses pensiswazahan guru-guru agama termasuk melaksanakan pengambilan guru baharu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda perlu dipercepatkan kerana secara tidak langsung menaikkan moral dan kepercayaan guru, ibu bapa dan pelajar,” katanya
Pada majlis tersebut, seramai 158 pelajar daripada 17 sekolah agama di Parlimen Labis yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Darjah Khas, Ujian Penilaian Kelas Al-Quran Dan Fardu Ain (UPKK) dan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) tahun 2016 telah diraikan.
Katanya, majlis tersebut merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan terhadap usaha serta pencapaian cemerlang murid-murid sekolah agama di kawasan Perlimen Labis.
“Diharapkan penghargaan yang diberikan ini mampu menjadi motivasi bukan sahaja kepada penerima, malah kepada pelajar lain untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang yang diceburi nanti,” katanya.
Comments