LABIS – Seorang pelajar tingkatan lima mungkin terpaksa melupakan hasratnya untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas terlantar akibat penyakit kanser tulang tahap empat.
Rohana Sukmo, 50, berkata, anaknya, Mohd Afiq Aiman Idris, 17, yang bersekolah di Kolej Vokasional Segamat disahkan menghidap penyakit tersebut selepas menjalani pengimbasan tomografi berkomputer (CT-Scan) pada bulan November tahun lalu.
“Segalanya bermula dengan tiba-tiba kerana pada awalnya, Afiq hanya mengalami kecederaan pada lutut kanannya sewaktu mewakili sekolahnya dalam kejohanan olahraga pada bulan Mei tahun lalu.
“Selepas itu, kesihatannya bertambah merosot dan terpaksa bergerak menggunakan tongkat sebelum pihak sekolah memberikannya cuti bermula bulan Ogos tahun lalu sehingga sekarang,” katanya.
Dia ditemui selepas menerima lawatan Mansor Birat, di rumahnya di Kampung Jawa, Chaah, di sini, semalam.
Katanya, pada awal tahun ini juga, dia terpaksa menukarkan sekolah anaknya itu dari Kolej Vokasional Segamat ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chaah, di sini, yang berhampiran dengan rumahnya.
Menurutnya, pada awalnya dia menyangkakan anak keempat dari tujuh beradik itu hanya mengalami kecederaan lutut sahaja sebelum ujian sampel darah dan CT-Scan mendapati terdapat sel kanser pada tulang pinggul, pipi dan kepala anaknya itu.

“Afiq kemudian ditahan di wad Hospital Daerah Segamat (HDS) sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada bulan November lalu terdapat salur darahnya yang tersumbat.
“Di HUKM, doktor yang merawat anak saya mencadangkan pinggul kanan Afiq perlu dipotong kerana sel kansernya sudah merebak sebelum menjalani kemoterapi namun saya dan suami tidak bersetuju,” katanya.
Menurutnya, selepas dibenarkan pulang dari HUKM, keadaan kesihatan Afiq bertambah merosot apabila beratnya turun mendadak daripada 50 kilogram (kg) kepada 33 kg sahaja selain mengadu badannya menjadi berbisa.
Katanya, dia dan suaminya, Mohd Idris Sakiman, 59, juga menjadi sebak apabila Afiq tidak boleh tidur dan hanya menjerit kesakitan bermula 12 tengah malam hingga awal pagi selain terpaksa dipakaikan lampin pakai buang ekoran tidak mampu mengawal pundi kencingnya.
“Selain mengambil ubat-ubatan hospital, saya dan suami juga berikhtiar menggunakan perubatan tradisional dan kanser pada pipi kanannya juga semakin membesar sehingga menjejaskan mata kanannya.
“Afiq kini hanya boleh memakan bubur sahaja dan pertuturannya juga menjadi tidak jelas dan kadang-kadang muntah darah dan sebagai seorang ibu, saya tidak sanggup melihat keadannya terseksa begitu,” katanya.
Menurutnya, Afiq kini terpaksa menjadikan hospital sebagai rumah keduanya selain terpaksa melakukan rawatan susulan beberapa bulan sekali selain mengharapkan keajaiban pada anaknya itu.
Nota : Adik Afiq telah kembali ke rahmatullah pada pagi Jumaat, 24 Febuari 2017, Takziah buat keluarga Afiq. Al Fatihah.
Comments