SEGAMAT – Seorang warga emas di Labis, di sini, terkilan apabila mendakwa menjadi mangsa penipuan anak bongsunya melibatkan pertukaran nama hak milik tanah berkeluasan 2.43 hektar.
Warga emas tersebut yang ingin dikenali sebagai Ros, 70-an, berkata, pada tahun 1999 dia menyerahkan geran tanah kebun getah miliknya kepada menantunya untuk dicagarkan kepada pihak bank.
“Ketika itu dia (menantu) meminta tolong saya untuk cagarkan tanah sebanyak RM30,000 selama 10 tahun kepada bank bagi membolehkan dia membeli sebuah rumah di Labis dan pak cik juga bersetuju.
“Pada tahun 2008 ketika pak cik hendak menebus semula geran tersebut daripada bank, pihak bank memberitahu bahawa geran tanah itu telah diambil oleh anak bongsu pak cik tanpa pengetahuan pak cik langsung,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, dia juga mendapat tahu bahawa menantunya itu telah meminta anak bongsunya yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan supaya membayar ansuran bulanan kepada bank kerana tidak mempunyai kemampuan.
Katanya, sehingga kini geran tersebut tidak dipulangkan kepadanya dan tambah terkejut apabila pada tahun 2010 dia dihubungi oleh seorang peguam di Segamat supaya mengambil salinan borang 14A iaitu pindah milik tanah.
“Apabila diteliti semula dokumen tersebut, dengan jelas tercatat bahawa pindah milik tersebut dibuat daripada nama pak cik kepada nama menantu dengan balasan wang tunai sebanyak RM50,000.
“Bertambah pelik, pindah milik tersebut dibuat pada 23 Oktober 1999 iaitu sebelum pak cik menyerahkan geran kepada menantu untuk dicagar kepada pihak bank dan pak cik pula tidak pernah tahu menahu mengenai perkara ini,” katanya.
Menurutnya, dia mendakwa anak bongsunya bersama menantunya itu berkomplot dalam pertukaran hak milik geran tersebut apabila pada tahun 2005 menantunya itu dikatakan menukar pula hak milik tanah kepada nama anak bongsunya itu.
Katanya, dia berasa dirinya seolah-olah dipermainkan dan ditipu kerana tidak pernah menurunkan sebarang tandatangan pada mana-mana dokumen pertukaran hakmilik selain tidak pernah menerima balasan wang tunai seperti yang didakwa.
“Pak cik juga telah beberapa kali membuat laporan polis dan siasatan forensik pada tahun 2010 mendapati tandatangan pada dokumen pertukaran hak milik itu bukan tandatangan pak cik selain pernah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jika mengikut perancangan pak cik, memang pak cik ingin jual tanah tersebut pada harga RM180,000 dan duitnya mahu diagihkan kepada anak-anak tapi tidak tahu pula sekarang sudah jadi begini,” katanya.
Menurutnya, dia berharap permasalahannya itu mendapat pembelaan daripada pihak bertanggungjawab selain meminta pihak polis supaya membuka semula kes melibatkan dirinya.
Comments