SEGAMAT – Seorang ibu tunggal di Felda Pemanis 2 di sini tidak menyangka dia layak menerima wang faedah pengurusan mayat dan pencen penakat selepas dua tahun suaminya meninggal dunia.
Nasimah A. Bakar, 46 berkata, dia yang tidak mengetahui faedah yang disediakan oleh Perkeso tidak merujuk di pejabat Perkeso selepas suaminya, Aznezul Abd Aziz meninggal dunia dua tahun lalu.
“Saya hanya membuat semakan di Pejabat Perkeso Segamat selepas dinasihatkan oleh jiran-jiran beberapa bulan lalu dan bersyukur saya layak menerima kedua-dua faedah tersebut.
“Wang yang diterima sedikit sebanyak mampu meringankan beban saya membesarkan empat orang anak berusia 11 hingga 17 tahun,” katanya ketika menerima wang faedah pengurusan mayat Perkeso yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap di sini baru-baru ini.
Katanya, suaminya meninggal dunia selepas mengalami cirit-birit dan muntah-muntah selepas pulang dari bertugas sebagai anggota Rela dua tahun lalu.
Menurutnya, dia kini hanya bergantung kepada pendapatan hasil menguruskan kedai runcit peninggalan arwah bapa mertuanya di Felda Pemanis 2 yang tidak seberapa.
Sementara itu, Pengurus Pejabat Perkeso Segamat, Roslinda Juanis berkata, selain wang pengurusan mayat sebanyak RM1,500, Nasimah turut layak menerima pencen penakat.
“Ketika ini kami sedang membuat semakan jumlah yang bakal diterima oleh Nasimah dan jumlah akan dikira bermula tarikh kematian suaminya.
“Dia akan menerima faedah pencen penakat setiap bulan sehingga akhir hayatnya manakala anak-anaknya sehingga berumur 21 tahun atau selepas tamat pengajian ijazah pertama,” katanya lagi.
Comments