LABIS – Dua keluarga di Felda Chemplak Barat, di sini, tidak menyangka akan menerima wang tabung khairat kematian dari Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) selepas kematian ahli keluarga mereka yang juga pekebun kecil getah.
Zainab Wahab, 73, berkata, selama ini dia juga tidak mengetahui arwah suaminya, Abdul Samad Ahmad yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada November tahun lalu sebenarnya ahli dan berdaftar dengan pihak Risda.
“Kebetulan saya dan anak-anak memang ada bercadang untuk mengadakan majlis tahlil untuk arwah suami saya pada hujung bulan ini dan wang ini akan saya gunakan untuk membeli barang-barang keperluan untuk majlis tersebut.
“Suami saya tidak pernah memaklumkan kepada saya dan anak-anak bahawa dia menyertai skim khairat kematian Risda dan saya terkejut apabila dimaklumkan menerima wang tersebut,” katanya.
Dia ditemui semasa Program Kasihi Pekebun Kecil Risda dan Penyampaian Skim Khairat Kematian yang disampaikan oleh Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim di Kampung Paya Merah, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, dia juga mengakui wang khairat yang diterima sebanyak RM2,000 itu sedikit sebanyak membantu dirinya memandangkan dia tidak mempunyai pendapatan tetap selepas kematian suaminya.
Bagi Norizah Jumaat, 49, berkata, dia yang menerima wang tersebut bagi arwah bapanya, Jumaat Abu Bakar bercadang untuk menggunakan wang tersebut bagi mengadakan kenduri arwah dan tahlil untuk arwah bapanya itu.
“Bapa saya meninggal dunia akibat serangan jantung pada bulan Oktober tahun lalu dan sebelum ini kami sekeluarga memang tahu dia (bapa) berdaftar sebagai pekebun kecil dengan Risda.
“Bagaimanapun, bapa tidak pernah menceritakan mengenai skim khairat kematian ini sehinggalah saya dihubungi oleh salah seorang pegawai Risda yang meminta saya hadir untuk menerima wang tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Risda Daerah Segamat, Nor Afzami Isa menyarankan pekebun kecil di daerah ini mendaftar dengan Risda kerana terdapat pekebun yang masih belum berbuat demikian.
“Pekebun kecil yang berdafar dengan Risda boleh menuntut pampasan kewangan sekiranya berlaku kemalangan atau sakit mengakibatkan kematian melalui perlindungan Takaful Khairat Kematian Berkelompok dibawah Skim Takaful Pekebun Kecil Berkelompok Risda (STPBR).
“Selain itu, antara kemudahan terbaharu yang disediakan oleh kerajaan melalui Risda ialah pembinaan Rumah Bina Negara Risda yang masih dibuka permohonannya terutama generasi kedua pekebun kecil,” katanya.
Comments