SEGAMAT – Sepasang suami isteri di Kampung Batu Hampar, di sini, tidak pernah sesekali menyalahkan takdir dan menerima hakikat bahawa tujuh anak mereka yang dilahirkan tidak sempurna dan berstatus orang kelainan upaya (OKU).

Nasaruddin Hassan, 68, berkata, hasratnya bersama isterinya, Kalthom Mohamad, 62, untuk mendengar anak-anaknya memanggil mereka dengan panggilan ibu dan ayah juga mungkin hanya tinggal harapan.

“Daripada tujuh anak kami, hanya tiga yang masih hidup sehingga kini manakala empat lagi sudah meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang dialami oleh mereka sejak kecil dan kami tidak pernah berasa rendah diri dengan keadaan ini.

“Kesemua anak-anak kami dilahirkan dalam keadaan cacat iaitu terlalu kecil serta mengalami masalah terencat pembesaran serta tidak mampu bercakap seperti kanak-kanak normal yang lain,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurutnya, walaupun ada pihak yang sering mengata dan memandang serong keluarganya, dia menerima keadaan itu dengan hati yang terbuka dan menganggap kesemua anaknya itu ialah ‘anak syurga’ dan pemberian yang tidak ternilai harganya.

Nasaruddin (dua,kiri) dan Kalthom sabar melayan kerenah anak-anaknya.
Nasaruddin (dua,kiri) dan Kalthom sabar melayan kerenah anak-anaknya.

Katanya, tiga anaknya yang masih dalam jagaannya ialah Narizal, 44; Norila, 35 dan Ibrahim, 27 yang mana kesemua mereka tidak mampu menguruskan diri dan terpaksa dibantu dalam semua hal.

“Sekiranya anak-anak pak cik sakit, pak cik tidak pernah membawanya ke hospital atau klinik kesihatan dan pak cik hanya akan meminta daripada doktor ubat yang sesuai untuk sakit mereka dan doktor juga sudah memahaminya.

Nasaruddin Hassan
Nasaruddin Hassan

“Namun, apa yang kami berdua bimbangkan adalah nasib mereka selepas ketiadaan kami nanti kerana selama ini hanya kami yang membesarkan mereka dan pak cik hanya mampu berdoa agar diberi kesihatan yang baik untuk terus menjaga mereka,” katanya.

Menurut pesara kerajaan itu, disebabkan ketabahan mereka menjaga dan membesarkan anak-anaknya, mereka telah dianugerahkan Tokoh Ibu Bapa Mithali peringkat negeri dan kebangsaan, baru-baru ini sempena sambutan Hari OKU Sedunia.

Katanya, ketiga-tiga anaknya juga mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 seorang selain terpaksa mengharapkan wang pencennya kerana tidak boleh bekerja atau meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama.

Bagi Kalthom pula, mereka tidak pernah berpeluang merasai nikmat pergi bercuti atau menjamu selera di luar seperti keluarga lain kerana anak-anaknya tidak boleh dibawa berjalan-jalan seperti kanak-kanak lain.

Kalthom Mohamad
Kalthom Mohamad

“Bagaimanapun, mak cik sudah lali dengan keadaan ini malah sudah terbiasa melayan kerenah mereka terutama ketika mereka jatuh sakit sehingga terpaksa berjaga semalaman walaupun orang lain melihatnya sebagai satu beban.

“Mak cik juga terpaksa bergilir-gilir dengan suami untuk keluar rumah seperti meghadiri kenduri atau majlis perkahwinan penduduk kerana anak-anak kami tidak boleh ditinggalkan sendirian di rumah dan mereka juga tidak suka dijaga oleh orang lain,” katanya.

Menurutnya, ketika mengandungkan kesemua anak-anaknya, dia hamil seperti biasa serta tidak merasakan sebarang keganjilan dan kesemua anaknya dilahirkan cukup sifat namun terlalu kecil dan puncanya juga masih belum diketahui sehingga kini.

Katanya, dia juga sudah puas berubat sama ada secara moden dan tradisional dan tidak pernah eminta simpati mana-mana pihak dan bagi dirinya, biarlah pahit manis membesarkan kesemua anak-anaknya itu hanya dirasai oleh dia dan suaminya sahaja.

(Visited 635 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!