LABIS – Seorang warga emas di Taman Sinar Emas, di sini, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) masalah penglihatan terpaksa menumpang kasih anak saudaranya untuk menjaganya.

C Tamil, 49, berkata, kesusahan hidup yang dilaluinya juga tidak pernah membataskannya untuk menjaga ibu saudaranya, V Kamachi, 63, itu sejak 20 tahun lalu.

“Dia (mak cik) memang buta sejak dilahirkan dan sebelum ini tanggungjawab menjaga dia dilakukan oleh salah seorang pak cik saya di Yong Peng, namun setakat ini dia masih boleh menguruskan dirinya sendiri.

“Namun, selepas pak cik meninggal dunia, hanya keluarga kami yang menjadi tempatnya bergantung dan menumpang kasih memandangkan dia tidak pernah berkahwin,” katanya semasa lawatan kebajikan Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong ke rumahnya, baru-baru ini.

Menurutnya, selain cacat penglihatan, ibu saudaranya juga mempunyai pelbagai komplikasi penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis selain terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan klinik.

Katanya, bertambah malang, mereka sekeluarga kini hanya bergantung kepada isterinya, Mariyayee, 42, yang bekerja sebagai operator kilang di Labis untuk menyara keluarga termasuk tiga anak yang masih bersekolah.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu lori, namun sejak diserang strok setahun lalu, saya terpaksa berhenti kerja dan terlantar hampir beberapa bulan sebelum boleh berjalan semula sejak awal tahun ini.

“Rumah sewa yang kami tinggal sekarang juga sudah beberapa bulan tidak dibayar kerana pendapatan isteri hanya cukup untuk menampung perbelanjaan rumah serta anak-anak dan mujur mak cik mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak pernah menganggap tanggungjawab menjaga ibu saudaranya itu sebagai beban malahan menganggap ibu saudaranya itu seperti ibunya sendiri selain anak-anaknya turut menerima kehadiran warga emas tersebut.

Sementara itu, Tee Yong berkata, dalam kunjungan itu, pihaknya turut menghulurkan bantuan kepada warga emas terbabit selain melihat bentuk keperluan yang boleh disalurkan kepada keluarga berkenaan.

“Seperti saya sendiri, boleh dikatakan setiap beberapa minggu sekali saya pasti akan turun padang untuk melihat kes-kes kebajikan di Parlimen Labis termasuk melakukan lawatan susulan kes-kes yang dilaporkan di surat khabar.

“Persepsi pihak tertentu bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya memberi bantuan kepada kaum tertentu juga tidak benar dan harus diperbetulkan dengan segera kerana bertentangan dengan dasar kerajaan dalam membantu golongan memerlukan,” katanya.

(Visited 217 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!