SEGAMAT 17 Mei – Seorang pengusaha bengkel kimpalan tidak menyangka permohonan untuk mendapatkan bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (Risda) diluluskan dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
Sahir Mohd Dali, 41, berkata, dia memohon bantuan tersebut pada penghujung tahun lalu dan dalam tempoh beberapa bulan sahaja permohonan bantuan berupa peralatan dan mesin kimpalan yang berjumlah RM14,000 diluluskan.
“Sebelum ini saya bekerja makan gaji dan perniagaan kimpalan ini baharu sahaja bermula tiga tahun lalu secara kecil-kecilan di rumah dan saya mengalami masalah kekurangan peralatan seperti mesin kimpalan, mesin pencanai dan alat janakuasa,” katanya.
“Saya harap bantuan ini dapat membantu saya berkembang lebih maju di dalam perniagaan kimpalan ini pada masa akan datang dan bantuan peralatan ini juga turut memberi kemudahan kepada dua lagi pekerja saya,” katanya.
Dia ditemui semasa Majlis Penyerahan Bantuan AET dan Program Kasihi Pekebun Kecil yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim di Kampung Sepinang, baru-baru ini.
Turut hadir Pegawai Risda Daerah Segamat, Nor Afzami Isa dan Ketua Kampung Sepinang, Mohd Taher Ibrahim.
Seorang lagi penerima, Saydatul Akma Ismail, 32, turut melahirkan rasa syukur kerana permohonannya untuk mendapatkan peralatan mesin jahit dibawah skim AET turut diluluskan.
“Sebelum ini saya terpaksa menjahit tempahan daripada pelanggan di rumah ibu saya Rubiah Rahim, 63, yang juga mengambil tempahan menjahit daripada penduduk setempat.
“Selalunya jumlah tempahan meningkat berlipat kali ganda ketika menjelang musim perayaan membuatkan saya tidak menang tangan menyiapkan semua tempahan,” katanya,
Katanya, dengan bantuan AET berbentuk mesin dan peralatan berjumlah RM14,000 ini mampu mengembangkan lagi usahanya pada masa akan datang.
Sementara itu, Norshida berkata, di DUN Buloh Kasap sahaja, Risda telah meluluskan sejumlah RM48,000 sebagai bantuan AET yang memberi manfaat kepada 13 usahawan berbanding jumlah keseluruhan RM240,000 di daerah Segamat.
Comments