LABIS – Bagi pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, di sini, kejernihan dan kesejukan air terjunnya pasti memukau sesiapa sahaja yang mencintai unsur-unsur alam yang membawa kedamaian.

Tambahan pula, keindahan alam semulajadi termasuk kekayaan flora dan fauna yang terdapat di kawasan tersebut mampu menerbitkan kedamaian dan ketenangan hati kepada para pengunjung yang ingin lari dari kesibukan kota dan tekanan kerja.

Terletak kira-kira lapan kilometer dari Pekan Bekok dan kira-kira 64 kilometer dari bandar Segamat, hutan lipur ini menjadi salah satu entiti dan tarikan pelancong ke daerah Segamat terutamanya pada hujung minggu atau cuti.

Pintu masuk ke Hutan Lipur Sungai Bantang.

Bagi memberi akses dan keselesaan kepada para pengunjung, jalan masuk ke hutan lipur tersebut sejauh kira-kira 3.4 kilometer juga telah diturap pada tahun ini selain ruang parkir kenderaan yang luas dan berturap.

Sepanjang cuti persekolahan yang bermula pada penghujung November lalu, jumlah pengunjung yang datang ke hutan lipur ini turut meningkat dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pelajar serta ibu bapa yang mengambil peluang untuk meluangkan masa bersama anak-anak.

Bagi Che Roslan Che Mat, 40, dia yang pertama kali mejejakkan kaki ke hutan lipur ini bersama isteri dan dua anaknya mengakui terpukau seketika apabila kedatangan mereka disambut oleh sahutan unggas dan keredupan alam semulajadi.

“Saya sebenarnya dalam perjalanan dari Johor Bahru untuk pulang ke Kuala Lumpur dan kawasan ini (hutan lipur) dicadangkan oleh salah seorang rakan saya yang sering membawa keluarganya beriadah.

“Apa yang membuat saya bertambah terkejut apabila tiada sebarang bayaran yang dikenakan berbanding beberapa hutan lipur dan kawasan rekreasi yang pernah kami pergi sebelum ini selain kemudahan asas yang lengkap,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, berdasarkan pengamatannya, kawasan berkenaan dijaga dengan rapi termasuk aspek kebersihan selain terdapat kakitangan Jabatan Perhutanan yang bertugas bagi memudahkan sebarang urusan.

Katanya, walaupun hanya meluangkan masa seketika untuk berehat dan bermandi manda di hutan lipur tersebut, dua anaknya yang masih kecil ternyata teruja selain mahu memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarganya sepanjang cuti persekolahan ini.

Sementara itu, Adib Adam Kamaruzzaman, 17, yang berasal dari Pasir Gudang berkata, sekiranya dia tidak mengikuti rombongan persatuan taekwandonya, dia pasti akan terlepas peluang untuk menikmati keindahan alam di hutan lipur ini.

“Ini merupakan kali pertama saya datang ke Sungai Bantang dan peluang selama tiga hari dua malam berkhemah di sini (hutan lipur) merupakan satu pengalaman baru bagi saya dan rakan-rakan yang lain.

“Dahulu saya pernah pergi ke Gunung Lambak di Kluang dan keadaannya jauh berbeza di sini (Sungai Bantang) kerana terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan seperti ‘jungle trekking’ dan ikhtiar hidup,” katanya.

Cuti sekolah beri rezeki kepada peniaga

Bagi peniaga, Rosrita Mohd Yassin, 39, dia yang menyewa gerai Jabatan Hutan di hutan lipur tersebut berkata, hasil jualannya akan meningkat berkali ganda sepanjang cuti persekolahan dan hari minggu berbanding hari-hari biasa.

Katanya, sepanjang cuti persekolahan ini, dia akan membuka gerainya setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga enam petang selain mengakui ramai pengunjung yang mula mengenali Hutan Lipur Sungai Bantang ini.

“Pada hari biasa, jualan saya kurang daripada RM20 dan kadangkadang tiada dan sepanjang cuti sekolah ini saya mampu memperolehi kira-kira RM150 sehari hasil menjual makanan, minuman dan peralatan mandi seperti pelampung.

“Jika hendak dibandingkan kawasan ini lima tahun lalu, banyak kemudahan asas termasuk jalan dan tandas telah rosak namun sejak setahun lalu banyak perubahan dan pembangunan yang berlaku termasuk gerai yang saya sewa ini,” katanya.

Menurutnya, dia yang telah berniaga lebih 15 tahun di kawasan tersebut turut mengakui usaha dan inisiatif Jabatan Perhutanan dan Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong untuk memajukan kawasan pelancongan tersebut.amat bermakna buat peniaga seperti dirinya.

Rosrita menunjukkan barang jualannya.

Katanya, terdapat dua peniaga termasuk dirinya yang menyewa di gerai tersebut selain berharap kawasan hutan lipur ini mampu menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, melalui rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan, jumlah pengunjung ke hutan lipur tersebut boleh mencecah sehingga 3,500 pengunjung sehari terutamanya pada musim cuti.

Menurutnya, usaha menarik pelancong ke kawasan tersebut juga bukan satu pekara yang mudah kerana usaha menyediakan kemudahan asas seperti tandas, jalan masuk dan tempat meletak kenderaan yang mencukupi juga harus diambil kira.

“Penglibatan semua pihak secara langsung dapat membantu jabatan terbabit dalam menguruskan tempat ini terutamanya dari aspek kebersihan, penjagaan segala kemudahan yang disediakan serta kesedaran kepada pengunjung terhadap kepentingan menjaga kemudahan awam,” katanya.

(Visited 845 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!