SEGAMAT – Mangsa banjir di Kampung Batu Badak, di sini, boleh menarik nafas lega apabila seramai 37 sukarelawan daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FKT) Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bertindak menyalurkan bantuan bencana.
Pengerusi program, Dr Nadirul Ashraf Mat Nayan berkata, dalam program tanggugngjawab sosial korporat (CSR) itu, pihaknya berganding bahu membaik pulih kediaman mangsa banjir yang terjejas.
“Program CSR ini terdiri daripada pensyarah, kakitangan dan mahasiswa FKT sendiri dan bertetapan dengan usaha merakyatkan universiti dengan masyarakat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Disamping itu, kami turut bergotong royong membersihkan rumah penduduk yang ditenggelami banjir selain memenuhi kemahiran insaniah dalam kalangan staf dan mahasiswa FTK itu sendiri,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, program seperti ini juga amat penting sebagai platform utama untuk staf FTK berbakti kepada masyarakat luar yang terjejas akibat banjir selain menjadi tunjang pembangunan program khidmat masyarakat di FTK dan UTHM.
Katanya, mereka turut dimaklumkan oleh Ketua Kampung Gemereh 4, Abdul Manapp Munaji bahawa seramai 55 keluarga terjejas dalam bencana tersebut selain mangsa mengalami kerosakan harta benda.
“Ketika program dijalankan, pelbagai usaha untuk membaik pulih keadaan persekitaran telah dilaksanakan seperti menyah-infeksi rumah serta kelengkapan para penduduk yang terjejas bagi menggelakkan penyebaran dan penularan penyakit berbahaya.
“Para sukarelawan juga telah memeriksa dan memastikan kelengkapan serta peralatan elektrik di rumah penduduk berfungsi dengan baik bagi mengelakkan berlakunya litar pintas yang mungkin menyebabkan kerugian yang lebih besar kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu, Abdul Manap berkata, dia yang mewakili penduduk kampung tersebut melahirkan rasa kesyukuran dengan bantuan yang diterima sejak kampung berkenaan dilanda banjir.
“Usaha warga FTK UTH ini bukan sahaja meringankan beban mangsa banjir, malah turut membaik pulih kediaman penduduk dan saya berharap program ini dapat memberi inspirasi kepada semua,” katanya.
Comments