LABIS – Sepasang suami isteri di Taman Perumahan Awam Labis, di sini, terpaksa menjaga di antara satu sama lain selepas masing-masing disahkan menghidap penyakit sehingga tidak boleh bekerja.

Mohd Zaiad Awang, 50, berkata, pada tahun 2012, dia disahkan menghidap penyakit saraf pada kedua-dua kakinya manakala isterinya, Kamsah Muhamad, 48, menghidap penyakit strok pada bahagian kiri badannya.

“Kedua-dua kaki saya mengalami sakit saraf sehingga tidak boleh melakukan pekerjaan berat dan berdiri terlalu lama sehingga menjejaskan pekerjaan saya sebagai pemandu lori sebelum saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

“Isteri saya sebelum ini dia bekerja sebagai operator kilang dan selepas dia disahkan menghidap strok, dia juga terpaksa berhenti kerja dan menyebabkan kami tiada sumber pendapatan bulanan,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, sebelum ini dia bersama isteri dan tiga anaknya, Mohd Razmi Firdaus, 27; Mohd Muzani, 26, dan Mohd Faiz, 19, tinggal menyewa di Johor Bahru selama 18 tahun sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke Labis pada tahun lalu.

Katanya, sewaktu di Johor Bahru, dia mengalami kesukaran untuk membawa isterinya menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan di klinik kerana tinggal di tingkat tiga selain tiada kemudahan lif.

“Dahulu, saya dan isteri hanya keluar rumah untuk ke klinik sahaja itupun dengan bantuan anak-anak kerana jika hendak harapkan saya, saya seperti sudah hilang upaya untuk berjalan jauh dan memandu kereta.

“Anak-anak juga sudah tidak benarkan saya memandu kereta selepas beberapa kali saya terlibat dalam kemalangan kecil dan saya juga pernah jatuh di tengah jalan sewaktu menunggang motosikal kerana kaki terasa begitu lemah sekali,” katanya.

Menurutnya, dia kini terpaksa bergantung kepada anak-anak untuk perbelanjaan bulanan dan anak keduanya, Mohd Muzani juga yang sebelum ini bekerja di Johor Bahru terpaksa berhenti kerja dan pulang ke Labis bagi menjaga dia dan isterinya.

Sementara itu, Kamsah berkata, selepas mendapat pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dia terus mengeluarkan wang tersebut untuk membeli rumah terpakai yang didudukinya sekarang.

“Jika di dalam rumah, saya boleh berpaut pada dinding untuk bergerak dan jika di luar, saya terpaksa menggunakan kerusi roda dan saya sudah tidak boleh lakukan kerja rumah seperti memasak dan mengemas rumah.

“Memang anak-anak banyak membantu selepas kami jatuh sakit walaupun pendapatan mereka tidak seberapa dan saya dan suami saling menjaga di antara satu sama lain dan kami reda dengan semua ini,” katanya.

Menurutnya, dia kini hanya bergantung kepada pencen bulanan daripada Perkeso selain suaminya juga baharu mendapat kelulusan bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM300.

(Visited 720 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!