LABIS – Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti (SRCC) Parlimen Labis meminta kerajaan negeri supaya mempertimbangkan pembinaan sebuah stadium mini di Padang Awam Labis, di sini.
Pengerusinya, Mohd Shahir Alihuddin berkata, ini kerana padang awam tersebut sudah lama terbiar tanpa sebarang pembangunaan sehingga aktiviti sukan dan rekreasi tidak boleh dilakukan di kawasan tersebut.
“Jadi, saya mewakili suara anak muda di Parlimen Labis memang mengharapkan sebuah stadium mini bagi golongan muda di parlimen ini kerana isu ini (stadium) sudah lama dibawa sejak tahun 2011 lalu.
“Tambahan pula, tiada sebarang padang awam yang sesuai untuk bermain bola sepak di sini selepas tapak padang awam yang dulu diambil untuk projek pembinaan Masjid Jamek Labis pada tahun 2010,” katanya.
Mohd Shahir berkata sebelum ini, segala aktiviti SRCC banyak dilakukan di sekitar Dataran Labis dan tidak boleh dilakukan sebarang perlawanan bola sepak ekoran kawasan yang tidak sesuai.
Menurutnya, padang awam tersebut juga kini dipenuhi semak samun dan keadaan struktur padang yang tidak rata menyebabkan padang berkenaan hanya dibiarkan begitu sahaja meskipun terletak di kawasan yang agak strategik.
“Saya telah menyerahkan surat permohonan peruntukkan kepada Mneteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa lawatan ke Labis dan beliau menyambut baik usaha saya dan akan mencari peruntukkan untuk usaha tersebut.
“Jika pembinaan stadium ini berjaya, saya yakin usaha kerajaan negeri dan SRCC untuk mewujudkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda akan berhasil.
“Saya juga yakin aktiviti-aktiviti tidak sihat melibatkan golongan muda khususnya di Parlimen Labis ini dapat dikurangkan sekiranya aktiviti-aktiviti sosial dan bermanfaat dapat diperbanyakkan lagi,” katanya.
Comments