LABIS – Seorang suami di Kampung Orang Asli Ulu Juaseh, di sini, sanggup meninggalkan kerja dan rutin hariannya semata-mata mahu menjaga dan berada di sisi isterinya yang menghidap barah saluran pernafasan tahap empat sejak tujuh bulan lalu.
Wahab Teypia, 58, berkata, dia tidak boleh meninggalkan isterinya, Saayah Manggok, 58, untuk ke hutan mencari rezeki seperti biasa kerana isterinya yang terlantar dan tidak mampu menguruskan diri serta memerlukan penjagaan rapi.
“Saya tidak mahu menyusahkan anak-anak yang tinggal di kampung yang sama untuk menjaga ibunya kerana mereka juga bukan orang senang dan perlu keluar mencari rezeki untuk menyara keluarga masing-masing.
“Sejak dia terlantar tujuh bulan lalu, saya hanya bergantung kepada pendapatan hasil kebun kelapa sawit berkelompok yang diuruskan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sebanyak RM300 sebulan untuk menyara keluarga,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya selain bantuan alat penafasan yang diusahakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Hospital Daerah Segamat (HDS), dia tidak menerima sebarang bantuan lain dari mana-mana pihak selain tidak tahu untuk membuat permohonan.
Katanya, ketika ini, isterinya tidak boleh menelan sebarang makanan dan hanya meminum susu formula khas berharga RM79 setin yang seberat 850 gram selain haya mampu bertahan selama empat hari sahaja.
“Dia (isteri) disahkan menghidap barah tersebut pada bulan Oktober lalu ketika mendapatkan rawatan di HDS sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban dan ditahan di wad selama hampir dua bulan sebelum kembali ke HDS selama sebulan lagi.
“Pada pertengahan bulan Disember lalu juga, dia terpaksa dipindahkan semula ke HDS sebelum dibenarkan pulang sejak seminggu lepas dan setiap dua hari petugas di Klinik Kesihatan Pekan Air Panas akan datang ke rumah kami memantau keadaannya,” katanya.
Menurutnya, dia juga menaruh harapan tinggi agar isterinya kembali pulih seperti sediakala selain berharap agar pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tampil membantu untuk memanjangkan masalah yang dihadapinya kemana-mana pihak.
Katanya, dia juga buntu mencari jalan untuk menampung kos untuk rawatan dan ubat-ubatan isterinya selain terpaksa mengeluarkan jumlah yang besar untuk membeli susu serta lampin pakai buang.
“Setiap bulan saya terpaksa memperuntukkan kos kira-kira RM500 untuk isteri saya dan saya bimbang sekiranya dia asyik terlantar di atas katil sahaja, kulit pada bahagian badannya akan luka dan tertanggal.
“Selain mendapatkan rawatan di hospital, saya juga sudah puas membawanya berubat secara tradisional namun keadaannya tetap sama dan saya akan berusaha untuk menjaganya selagi saya mampu,” katanya.
Comments