SEGAMAT – Jika diminta menawarkan diri untuk melakukan kerja sukarela, pasti ramai yang akan berfikir panjang kerana tugas atau kerja yang dilakukan itu tidak mendapat sebarang bayaran, dan kerap kali tiada penghargaan.
Semangat kesukarelawan sebenarnya tidak mengenal usia jika seseorang itu sanggup mengorbankan masa, dan kadangkala harta benda mereka demi kepuasan hasil kerja-kerja sukarela.
Bagi Pengerusi Biro Agama Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Rusdin Mahmud, 50, yang juga akitvis sukarelawan berkata, di negara yang penduduknya majmuk ini, pengorbanan itu juga tidak mengenal agama, bangsa dan warna kulit kerana konsepnya yang luas
Menurut anak jati kelahiran Labu, Negeri Sembilan itu, dia sudah 14 tahun melibatkan diri dalam dunia sukarelawan dan melihat aktiviti-aktiviti sukarelawan ini mampu memberikan kepuasan kepada dirinya terutama dalam membantu mereka yang memerlukan dan ditimpa musibah.
“Sebenarnya, semangat sukarelawan dalam diri saya telah dipupuk daripada kecil kerana saya merupakan seorang anak kampung yang hidup dalam persekitaran tolong-menolong dan sukarela dan semangat itulah yang kekal di dalam diri saya sehingga sekarang.
“Tidak ramai golongan muda mempunyai kesedaran tinggi untuk melibatkan diri dalam kerja sukarela kerana memerlukan komitmen tinggi tambahan pula kerja-kerja sukarelawan ini tidak memberi pulangan lumayan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, penglibatannya dalam KP1M bermula pada tahun 2000 apabila KP1M yang baharu ditubuhkan dan dipimpin oleh Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di peringkat nasional ketika itu menyasarkan supaya setiap negeri di Malaysia menubuhkan KP1M.
Katanya, dia yang ketika itu memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Labis telah dilantik dan diamanahkan oleh Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Ayub Rahmat menjadi Pengerusi KP1M negeri Johor.
“Ketika itu saya tekadkan di dalam hati untuk meningkatkan lagi kerja-kerja sukarelawan di negeri Johor dan mula bergerak mencari ahli-ahli yang mempunyai semangat kesukarelawan yang tinggi dan saya tidak mahu menoleh kebelakang lagi.
“Apa yang mudahnya di negeri ini, golongan sasar kami iaitu golongan remaja ketika itu mudah untuk didekati kerana nilai-nilai murni di dalam diri mereka sudah mula dipupuk terutamanya melalui sekolah agama kerajaan negeri,” katanya.
Melawat negara-negara bergolak dan ditimpa bencana
Sepanjang penglibatannya secara aktif dalam KP1M, kebanyakan negara-negara bergolak dan ditimpa bencana di dunia seperti Palestin, Manila, Filipina, Myanmar, Somalia, Acheh, Jepun, dan New Zealand sudah beberapa kali dikunjungi dalam usaha memberi bantuan misi kemanusiaan.
Menurutnya, dia sendiri sudah tiga kali ke Palestin dan baharu sahaja pulang dari negara tersebut pada 23 Ogos lalu selepas beberapa minggu di sana dan tambah membanggakan Malaysia merupakan negara terawal selepas Turki yang memberikan bantuan kepada penduduk Gaza.
Katanya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila menguruskan jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan KP1M di Mogadishu, Somalia.
“Saya masih ingat lagi tarikh pada petang 2 September 2011 apabila menerima panggilan daripada Datuk Azeez yang mengatakan Noramfaizul diserang hendap dan mati ditembak. Berita tersebut membuatkan saya dan beberapa lagi sukarelawan terkejut dan menangis.
“Ketika kejadian, Normafaizul bersama rakan-rakan wartawannya seramai lima orang sedang menaiki pacuan empat roda dan mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia,” katanya.
Menurutnya, timbul kesukaran untuk menguruskan jenazah Noramfaizul ekoran kekurangan kemudahan asas seperti air, sabun dan kain kafan sehingga pada satu tahap kerajaan Somalia menawarkan alas meja untuk dijadikan kain kafan.
Katanya, selepas berbincang dengan Datuk Abdul Aziz dan sukarelawan-sukarelawan KP1M yang berada di sana, mereka sepakat untuk menolak mengkafankan jenazah menggunakan alas mesa tersebut dan memasukkan jenazah ke dalam kotak sebelum dihantar pulang ke Malaysia.
Perlu wujudkan mata pelajaran khusus untuk kesukarelawanan
Rusdin yang juga guru besar Sekolah Kebangsaan Kampung Kudong, Bekok, berkata, perlu ada mata pelajaran khusus di sekolah untuk mengajar kewarganegaraan dan kesukarelawanan sekiranya mahu melihat semangat tersebut terus subur di dalam jiwa generasi baharu.
Menurutnya, perkara tersebut diyakini boleh direalisasikan sekiranya pihak kerajaan bersama badan-bana bukan kerajaan (NGO) dapat melihat peri pentingnya semangat tersebut dalam kehidupan bermasyarakat seharian.
“Matlamat dan perjalanan hidup saya sebagai aktivis tidak hanya terhenti setakat berkungjung dan pulang, sebaliknya membuat kajian menyeluruh tentang keperluan di sana dan berkongsi pengalaman melalui ceramah motivasi dan seminar.
“Dengan menelusuri kisah dan liku-liku hidup mereka yang dibelenggu kemiskinan dan berfikiran terkebelakang membuatkan saya bersyukur dilahirkan di Malaysia bumi bertuah yang jauh lebih aman berbanding negara-negara tersebut,” katanya.
DIsebabkan sumbangannya dalam bidang sukarelawan, beliau dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk daripada Tuan Yang Terutama Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakub pada Oktober tahun lalu.
Comments