SEGAMAT – Pengalaman merasai keperitan hidup dizaman komunis dan kolonial menyebabkan sepasang suami isteri di Felda Redong, di sini, lebih menghargai sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun.

Kapandi Hanapiah, 71, berkata, sejak bermula tahun lalu, dia bersama isterinya, Ruminah Satar, 69, dibantu oleh 10 anak, 27 cucu dan tiga cicitnya akan mula menghias halaman rumah mereka dengan Jalur Gemilang serta unsur kemerdekaan apabila menjelangnya bulan Ogos.

Jalur Gemilang turut dipasang disekeliling rumah

Kemeriahan keluarga Kapandi yang kini mempunyai empat generasi menyambut kemerdekaan turut mendapat perhatian jiran serta penduduk setempat untuk bergambar di setiap ruang lanskap yang diberi nama ‘Lanskap Merdeka Atuk’.

“Pada tahun lalu, pak cik bersama keluarga mengambil masa hampir sebulan untuk membuat persiapan termasuk membuat lanskap kemerdekaan di sekeliling rumah seperti pintu gerbang, replika Menara Berkembar Petronas, replika Tugu Negara serta memasang Jalur Gemilang.

Replika Menara Berkembar Petronas turut dipasang

 “Pada tahun ini, kami hanya mengambil masa kira-kira seminggu untuk memasang dan menghias kembali ‘Lanskap Merdeka Atuk’ dan kebanyakan replika serta lanskap ini merupakan idea serta kreativiti anak-anak,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, kebanyakan replika kemerdekaan di lanskapnya itu dibina daripada bahan-bahan terbuang dan kitar semula seperti menggunakan 750 bekas air kotak untuk menghasilkan Jalur Gemilang dan botol air minuman bagi menghasilkan Menara Berkembar Petronas.

Katanya, dia turut mendapat kerjasama daripada semua anak, cucu dan cicitnya untuk melakukan kerja-kerja lanskap tersebut seperti mengecat dan memotong gabus untuk dijadikan replika Tugu Negara dan ayat ‘Sehati Sejiwa’.

Replika Tugu Negara dan tema Sehati Sejiwa turut dipasang

31 Ogos antara suka dan duka

Apabila mengenang kembali tarikh 31 Ogos, terdapat dua peristiwa iaitu sedih dan gembira yang tidak dapat dilupakan oleh Kapandi dan isterinya sehingga kini apabila kematian anak kelimanya, Norhisham pada tahun 1980-an.

“Ketika itu usianya (Norhisham) baharu mencecah setahun dan dia merupakan anak lelaki pertama kami dan dia meninggal dunia betul-betul pada 31 Ogos kerana demam panas dan ketika itu pak cik belum menyertai Felda lagi.

“Peristiwa gembira pula pada 30 Ogos 1981 apabila isteri pak cik melahirkan anak kelapan kami, Mohd Rizal, 35, dan pada malam ambang merdeka, pak cik akan adakan kenduri doa arwah dan doa selamat bagi mengenang peristiwa tersebut,” katanya.

Jalur Gemilang yang dihasilkan daripada 750 bekas air kotak

Menurutnya, dia sekeluarga juga akan mengadakan sambutan kemerdekaan di rumah bermula dengan ambang merdeka serta diselitkan dengan pelbagai aktiviti seperti tayangan filem patriotisme dan membaca sajak.

Katanya, dia juga tidak akan melepaskan peluang untuk menceritakan pengalamannya ketika di zaman darurat dan keperitan negara dicengkam keganasan komunis dengan ahli keluarganya bagi menimbulkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

“Sebab itu pak cik tidak kisah untuk mengeluarkan sedikit duit untuk menyemarkkan lagi semangat kemerdekaan kerana dahulu terlalu azab ketika hidup di zaman komunis dan British sehingga sukar untuk mendapatkan makanan.

Kapandi bersama isterinya di hadapan rumahnya

“Pakcik pernah rasa hidup di zaman ubi kayu, bekalan makanan pun kena catu, jika ada beras diberi pun segenggam dan sewaktu muda, pak cik pernah membuat kawalan kampung untuk menyekat kemaraan komunis di Kampung Sagil, Muar,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur zaman tersebut sudah berlalu dan mahu generasi pasca merdeka yang ada pada hari ini agar lebih menghargai nilai kemerdekaan tersebut selain tidak malu untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

(Visited 2,018 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!