LABIS – Masalah bangunan Sekolah Agama Labis, di sini, yang terbengkalai sejak tahun 2011 dijangka akan dapat disiapkan dan diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) Segamat pada penghujung bulan Mac ini.
Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim berkata, kerja-kerja terbengkalai oleh kontraktor terdahulu itu kini telah diambilalih oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) pada Disember, tahun lalu.
“Sebelum ini, sekolah agama ini merupakan salah satu ‘projek sakit’ di Dun Tenang dan saya pernah beberapa kali mendesak dan membangkitkan hal ini ketika Mesyuarat Tindakan Daerah (MTD) dan sidang Dun agar projek ini dapat disiapkan segera.
“Walaupun baharu dua bulan KPRJ mengambilalih kerja-kerja terbengkalai di sini, kemajuan kerjanya dapat dilihat apabila sambungan elektrik telah ada dan kawasan perkarangan sekolah juga sudah diturap,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, beliau juga mengakui bangunan tersebut yang sudah terbiar hampir lima tahun itu turut melahirkan kebimbangan kepada warga sekolah berkenaan serta dikalangan masyarakat setempat yang tinggal berhampiran bangunan itu.
Katanya, bangunan baharu tersebut yang terletak bersebelahan bangunan lama sekolah berkenaan juga telah siap dibina beberapa tahun lalu namun dibiarkan terbengkalai kerana masalah pendawaian dan sistem perpaipan yang masih belum disiapkan.
“Selepas ini, saya meminta supaya Syarikat Air Johor Holding (SAJH) dapat mempercepatkan proses penyambungan meter air ke bangunan ini bagi membolehkan para pelajar dan guru berpindah ke bangunan baharu ini secepat mungkin.
“Sekolah agama ini mempunyai kira-kira 700 murid dengan 11 guru manakala bangunan baharu ini mempunyai lapan bilik darjah dan keadaan bangunan sekarang sangat sempit dan pelajar terpaksa berasak-asak untuk belajar,” katanya.
Menurutnya, beliau berharap bangunan baharu ini akan memberi lebih keselesaan dan motivasi yang tinggi kepada semua pihak dan ini juga jelas memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam bidang pendidikan agama.
Comments