SEGAMAT – Sekolah Agama (SA) Taman Pelangi, di sini, yang terbengkalai sejak tahun 2013 lalu siap sepenuhnya apabila menerima kemasukan pelajar pertama dan dirasmikan pembukaannya, hari ini.

Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, pembukaan sekolah ini juga memudahkan murid-murid yang duduk di sekitar taman tersebut apabila mereka tidak perlu bersusah-payah untuk pergi ke SA Kampung Jawa dan SA Pogoh untuk bersekolah.

“Oleh itu, apabila sekolah yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ ini siap, saya telah cadangkan kepada Pegawai Pendidikan Islam Daerah (PPID) supaya diadakan satu perjumpaan di antara PPID, para guru dan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah ini.

“Ini kerana, bukannya mudah untuk kita dirikan sebuah sekolah agama yang peruntukannya dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan hari ini sepatutnya menjadi satu detik yang bersejarah,” katanya.

Ayub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri berkata demikian dalam ucapannya ketika hadir perjumpaan bersama PPID, para guru dan ibu bapa sempena pembukaan SA Taman Pelangi, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah PPID Segamat, Faiz Rohani dan Penghulu Mukim Pogoh, Hamzah Abu Bakar.

Menurutnya, di Dun Kemelah sahaja, terdapat lima sekolah agama baharu yang telah siap dibina termasuk SA Taman Pelangi iaitu SA Bandar Putra, SA Pogoh, SA Kampung Melayu Raya dan SA Bukit Siput selain SA Segamat Baru yang bakal dibina.

“Bagaimanapun, SA Segamat Baru mempunyai masalah tanah dan di dalam Mesyuarat Tindakan Daerah, saya telah meminta tanah yang sepatutnya dibina kompleks sukan diberi dua ekar untuk pembinaan sekolah ini.

“Sekarang ini dalam proses pemecahan plot tanah dan saya berharap ianya dapat disegerakan bagi mempercepatkan proses pembinaannya,” katanya.

Katanya, secara purata, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1.7 juta bagi pembinaan baharu sekolah agama di negeri ini dan kerja-kerja terbengkalai oleh kontraktor dahulu juga telah menyebabkan kos pembinaannya meningkat di antara RM500,000 hingga RM700,000.

Menurutnya, pembinaan sekolah-sekolah agama terbengkalai ini kemudiannya diambil oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan sekurang-kurangnya RM130 juta untuk membayar gaji guru-guru agama di negeri ini.

“Dalam Bajet Negeri Johor yang lalu, kira-kira RM350 juta akan dibelanjakan untuk pembangunan agama Islam di negara ini dan tidak termasuk RM220 juta duit zakat yang dipungut oleh Majlis Agama Islam Johor (Maij).

“Ini membuktikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin cukup peka dan prihatin dengan setiap permasalahan yang berlaku di peringkat akar umbi termasuk masalah-masalah sekolah agama ini,” katanya.

(Visited 737 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!