SEGAMAT – Penantian penduduk di daerah ini untuk memiliki sebuah stadium bakal terlaksana apabila kerajaan negeri meluluskan pembinaan stadium mini dan stadium tertutup di Jalan Genuang, di sini.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembinaan stadium tersebut melalui projek penswastaan yang akan dimulakan pada tahun ini dijangka siap pada awal tahun 2020.
“Kos pembangunan kompleks stadium ini menelan kos sebanyak RM22.5 juta dan dibina di atas tanah seluas 25.55 ekar dengan keluasan stadium mini 10.75 ekar manakala keluasan stadium tertutup pula 0.62 ekar.
“Melalui projek penswastaan ini, pemaju yang dilantik mesti membayar pulangan kepada kerajaan kerana mereka (pemaju) mempunyai projek bercampur dan mendapat hasil daripada penjualan benda-benda lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Jamuan Muafakat Sekijang di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, di sini, kelmarin.
Menurutnya, mini stadium ini mampu menampung kapasiti penonton sebanyak 1,765 manakala stadium tertutup pula boleh memuatkan 660 penonton pada satu-satu masa selain mempunyai pelbagai kemudahan lain seperti pejabat dan tempat letak kereta dan motosikal.
Katanya, dalam lawatannya ke Parlimen Sekijang, kira-kira RM80 juta peruntukan pembangunan telah diumumkan sama ada melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
“Bagi mengatasi masalah tekanan air rendah di Felda Pemanis, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM23 juta untuk menaik taraf loji rawatan air Pemanis dan menaik taraf sistem agihan air termasuk membina tangki air dan paip air yang baharu.
“Selain itu, sebanyak RM3.5 juta pula untuk membina masjid baharu Felda Pemanis dan RM21.5 juta pula untuk kerja-kerja menaik taraf dan melebarkan jalan-jalan kampung, jalan-jalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jalan-jalan negeri,” katanya.
Menurutnya, bagi mengatasi masalah pelajar Sekolah Agama Kampung Tengah yang terpaksa menumpang bangunan sekolah kebangsaan, kerajaan negeri juga telah meluluskan pembinaan bangunan sekolah agama masing-masing di Kampung Tengah dan Segamat Baru.
Comments