SEGAMAT – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, semalam, menerima Ketua Polis Daerah yang baharu selepas Supritendan Mohd Kamil Sukarmi bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Jawatan tersebut kemudian digalas oleh Supritendan Raub Selamat, 48, yang sebelum ini bertugas di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), IPK Pahang.
Raub yang merupakan anak jati kelahiran Muar telah berkhidmat di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 23 tahun dan telah berkhidmat di beberapa jabatan seperti Cawangan Khas Bukit Aman, IPD Brickfields, Kuala Lumpur.
Menurutnya, beliau bertekad untuk meneruskan kecemerlangan IPD Segamat yang diterajui oleh ketua polis sebelumnya dan berusaha untuk menurunkan indeks kadar jenayah di daerah ini.
“Saya akan meneruskan tradisi IPD Segamat untuk turun padang sendiri dan bertemu dengan komuniti setempat untuk mengeratkan lagi silaturahim antara polis dan masyarakat selain akan mengambil tindakan terhadap mana-mana aduan masyarakat.
“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurusan tertinggi polis Johor yang memberi kepercayaan kepada saya menerajui IPD Segamat,” katanya.
Majlis serah terima tugas itu turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Zakaria Ahmad di IPD Segamat, semalam.
Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, beliau berharap Raub dapat meneruskan kecemerlangan prestasi dan strategi yang telah disusun.dengan penyerahan jawatan baharu kepadanya.
“Jika terdapat pengubahsuaian untuk tambah baik kejayaan, beliau (Raub) boleh laksanakan kerana perkara ini penting bagi meneruskan kecemerlangan PDRM khususnya IPD Segamat ini.
“Selain itu, kejayaan ini banyak bergantung kepada warga kerja dan modal insan dari peringkat bawah ke atas supaya mereka dapat beri komitmen baik agar apa yang kita rencanakan dapat berlangsung dengan lebih berkesan serta bermotivasi,” katanya.
Comments