SEGAMAT – Daerah Segamat menjadi daerah pertama di negeri ini yang tampil dengan identitinya tersendiri apabila melancarkan logo dan tema pelancongan daerah berasaskan durian.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri menganggap usaha pentadbiran daerah ini adalah suatu usaha yang baik dalam menunjukkan kekuatan daerah ini.
“Mungkin dengan usaha yang dilakukan ini, Segamat bakal menjadi pengeluar durian utama dan terbaik di seluruh negara selain kekuatan produk eko dan agro pelancongan yang terdapat di daerah ini.
“Saya cadangkan agar diadakan pesta durian setiap tahun dan jemput negara-negara pengeluar durian seperti Thailand dan Indonesia untuk turut serta dan bertanding dan dari sini kita boleh tahu durian mana yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu Majlis Jamuan Muafakat Sekijang dan Pelancaran Logo dan Tema Pelancongan Segamat di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, di sini, semalam.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan membantu untuk menjayakan pesta durian tersebut dan akan menjadikannya sebagai salah satu aktiviti pelancongan negeri ini yang mampu menarik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara.
“Setakat ini kerajaan negeri juga tidak mewajibkan setiap daerah mengeluarkan logo dan tema mereka sendiri dan sekiranya ada, ini akan menjadi satu nilai tambah yang boleh dijadikan kelainan,” katanya.
Comments