LABIS – Daerah Segamat melakar sejarah tersendiri apabila terpilih sebagai projek perintis menggunakan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) bagi projek membina semula Jalan Persekutuan dari Kampung Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwong Sai, di sini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata, projek membina semula jalan tersebut menelan kos RM92.5 juta melibatkan jarak 40 kilometer (KM) iaitu 35 KM di Parlimen Labis dan 5 KM di Parlimen Sekijang.
“Bagaimanapun, hanya 10 KM sahaja yang akan menggunakan teknologi CMA dan lokasinya masih belum ditentukan manakala 25 KM menggunakan kaedah Cold In-Place Recycling (CIPR) dan jarak selebihnya iaitu 10 KM menggunakan kaedah konvensional yang biasa.
“Walaupun kos pembinaan jalan menggunakan CMA lebih tinggi iaitu RM53 permeter berbanding RM29 permeter jika menggunakan kaedah konvensional, namun kos penyelenggaraan jalan CMA lebih rendah berbanding jalan konvensional,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Taklimat Projek Perintis CMA semasa Jelajah FT Roadpedia Zon Selatan Kementerian Kerja Raya di Masjid Kampung Desa Temu Jodoh, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Sri Zohari Akob dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Johor, Ir Mohamad Salleh Abu Bakar.
Menurutnya, antara kelebihan penggunana CMA ini adalah dapat memberi rintangan lebih baik ke atas faktor-faktor yang boleh menyebabkan kerosakan jalan seperti retakan dan aluran oleh kenderaan-kenderaan berat.
“Untuk tempoh jangka masa panjang, pembinaan jalan menggunakan CMA ini mungkin lebih ekonomik memandangkan kos kitaran hayat jalan tersebut akan menjadi semakin murah pada masa sama berkualiti dan tahan lama.
“Pada masa ini, JKR dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) masih dalam peringkat penilaian bagi menentukan kesesuaian turapan jalan menggunakan CMA ini dan penilaian akhir projek rintis ini sepatutnya mengambil masa dua tahun bagi menentukan keberkesanannya,” katanya.
Walau bagaimanapun, pasukan penilai bersetuju untuk memendekkan tempoh kajian kepada satu tahun sahaja iaitu sehingga akhir tahun ini dan antara kriteria yang diambil kira adalah dari segi kos pembinaan aspek teknikal dan kekuatan campuran asphalt tersebut.
Menurutnya, jalan tersebut yang dijangka memulakan pembinaan pada Julai tahun ini dan dijangka siap pada awal tahun 2020 juga merupakan jalan yang paling banyak menggunakan CMA di negara ini.
“Sebelum ini kita ada tiga kawasan iaitu di Temerloh, Pahang; Tampin, Negeri Sembilan dan Baling, Kedah yang menggunakan CMA sebagai kajian dengan skala yang pendek hanya 500 meter sahaja dan di Segamat adalah 20 kali ganda daripada tiga kawasan tersebut.
“Walaupun projek Jalan Kampung Desa Temu Jodoh-Kampung Kwong Sai ini merupakan projek rintis, apa yang ingin ditekankan adalah usaha kerajaan untuk membantu menstabilkan harga getah dan pada masa sama menambahbaik proses pembinaan jalan di Malaysia,” katanya.
Comments