SEGAMAT 3 Feb.- Bantuan kepada golongan yang memerlukan tidak semestinya berbentuk kebendaan, malah sumbangan berbentuk tenaga, masa mahupun idea mampu meringankan beban yang ditanggung.

Sebagai contoh, sumbangan tenaga dan masa 400 sukarelawan Darul Takzim semasa menjayakan Ops Cuci Banjir di daerah Segamat baru-baru ini mampu meringankan beban mangsa banjir di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, program tersebut bukan sahaja dapat meringankan beban mangsa banjir membersihkan rumah dan bangunan awam yang terjejas banjir, malah sebagai bukti kejayaan muafakat bangsa Johor.

Katanya, setakat ini terdapat lebih 20,000 sukarelawan Darul Takzim di seluruh negeri Johor yang bersiap sedia untuk digerakkan bila-bila masa bukan sahaja ketika bencana banjir, malah jika berlaku sebarang bencana lain.

“Program ini secara tidak langsung telah berjaya menyemarakkan semangat sukarelawan dalam kalangan peserta pelbagai peringkat lapisan umur, kaum, agama dan politik.

“Inilah keunikan semangat bangsa Johor yang mampu mengenepikan apa jua perbezaan pandangan untuk bersatu tenaga membantu mereka yang dalam kesusahan,” katanya baru-baru ini.

Menurutnya, program sehari tersebut melibatkan usaha membersih rumah penduduk serta bangunan awam di tiga kawasan Parlimen yang terdapat di daerah ini iaitu Parlimen Segamat, Sekijang dan Labis.

Beberapa Sukarelawan Darul Takzim bantu membasuh pinggan dan mangkuk di salah sebuah rumah mangsa banjir di Kampung Chodan baru-baru ini.

Katanya, kampung yang terlibat adalah Kampung Spang Loi, Kampung Bukit Tunggal dan Kampung Tebing Tinggi di Parlimen Segamat serta Kampung Orang Asli Segamat Kechil di Parlimen Labis.

“Sementara Parlimen Sekijang pula, kampung yang terlibat ialah Kampung Padang Lalang, Kampung Jawa dan Kampung Chodan yang merupakan antara kampung yang terjejas teruk ketika bancana banjir melanda Segamat baru-baru ini.

“Kejayaan program ini merupakan kejayaan konsep ‘Muafakat Johor’ yang dilaungkan oleh kerajaan negeri serta usaha mengalakkan semangat sukarelawan yang digalakkan oleh kerajaan pusat sebelum ini,” katanya.

Beliau melahirkan keyakinan semangat tersebut mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan sebuah masyarakat yang sedia berkorban membantu insan di dalam kesusahan serta menjadi masyarakat berkemajuan.

“Sukarelawan terlibat di dalam program ini terdiri daripada ahli-ahli 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdapat di negeri ini yang digerakkan ke 50 kawasan terjejas banjir di Segamat, Labis dan Muar.

“Ini bukan pertama kali Sukarelawan Darul Ta’zim menjalankan aktiviti seumpama ini dan saya percaya mereka dengan semangat kesukarelaan yang tinggi sudah bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir apabila diperlukan'” katanya.

(Visited 418 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!