LABIS – Akidah saudara baharu dalam kalangan masyarakat orang Asli di sini tidak pernah diabaikan, malah sentiasa dipantau dan dibimbing oleh pegawai daripada Pejabat Kadi Daerah secara berterusan.
Penyelaras Bahagian Orang Asli, Skuad Prihatin Pejabat Kadi Daerah Segamat, Mohd Amin Aini berkata, pihaknya akan melawat ke perkampungan orang Asli yang terdapat di daerah ini secara berkala bagi mendekati serta memastikan akidah mereka tidak terpesong.
“Walaupun perhatian diberikan kepada mereka yang beragama Islam dan saudara baharu, namun kami juga mendekati dan menjalin hubungan rapat dengan mereka yang bukan beragama Islam.
“Sebagai contoh, kami turut menghulurkan bantuan berupa keperluan harian kepada keluarga yang memerlukan walaupun mereka bukan keluarga beragama Islam dalam setiap lawatan kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Orang Asli Ulu Juaseh baru-baru ini.
Katanya, antara lain peranan yang dimainkan oleh unit tersebut adalah memberi kefahaman dan memastikan bimbingan berterusan dapat dilakukan kepada mereka terutama golongan saudara baharu.
Sementara itu, Pengerak Masyarakat Orang Asli, Mohd Izazul Fayzal Zulkipli berkata, sepanjang hampir lima tahun dia memikul tanggungjawab sebagai pengerak masyarakat orang Asli, belum pernah berlaku saudara baharu kembali kepada kehidupan asal mereka sebelum memeluk Islam.
Katanya, berkat bimbingan secara berterusan, mereka yang memeluk Islam berusaha dan mampu untuk mengamalkan kehidupan mengikut ajaran Islam.
“Pengalaman saya, mereka ini memiliki satu sifat ingin belajar dan mengamalkan apa yang diajar kepada dalam kehidupan seharian mereka.
“Terdapat juga ahli yang beragama Islam dan belum memeluk Islam tinggal sebumbung dan kes sebegini memerlukan usaha berganda untuk memberi kefahaman kepada mereka agar terus berpegang kepada amalan serta gaya hidup mereka swperti yang dituntut oleh Islam,” katanya.
Comments