Sate 30 sen : Kanak-kanak percuma secucuk dan diskaun kepada warga emas

SEGAMAT –  Ketika masyarakat di seluruh negara membincangkan mengenai kenaikan harga barang keperluan termasuk harga makanan dan minuman, seorang peniaga sate di daerah ini hanya menjual sate pada harga 30 sen secucuk.

Peniaga tersebut, Samsuddin Mohamad, 56, berkata, dia yang hanya berniaga sate secara sambilan sudah menjalankan perniagaan tersebut hampir 20 tahun lamanya.

“Pak cik bermula menjual sate pada tahun 90an di sini. Pada awalnya, sate hanya dijual pada harga 10 sen secucuk kemudian harga tersebut dinaikkan kepada 30 sen sehingga sekarang disebabkan faktor ekonomi dan keadaan semasa.

“Di sini pak cik hanya menjual sate ayam sahaja. Dalam sehari boleh dijual 500 hingga ke 700 cucuk. Ini kerana sate ayam lebih lembut dan mendapat permintaan tinggi berbanding sate daging yang liat dan memerlukan masa yang lama untuk dimasak,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurutnya, kedainya yang dikenali oleh penduduk di daerah ini sebagai ‘Kedai Wak Sate’ hanya dibuka tiga kali seminggu menggunakan kereta tolak dan bukannya sepenuh masa memandangkan dia masih berkhidmat sebagai kakitangan awam di salah sebuah jabatan kerajaan di daerah ini.

Samsuddin (kiri) bersama isteri (tengah) dan anaknya.
Samsuddin (kiri) bersama isteri (tengah) dan anaknya.

Kedai Wak Sate 30 sen

Bapa kepada tiga orang anak ini juga hanya berniaga berhampiran rumahnya di Jalan Gudang Ubat, di sini, seperti di hadapan Pejabat Pos Jalan Awang dan turut dibantu oleh isterinya, Sulastri Sibon, 50, dan salah seorang anak lelakinya, Musa Samsuddin, 28.

“Segalanya bermula semasa kecil sewaktu pak cik tinggal di Ayer Baloi, Pontian. Pada waktu itu jiran di sebelah rumah pak cik ada menjual sate dan pada masa yang sama pak cik sering menolongnya membuat dan menjual sate. Pada waktu itu pak cik diberikan gaji 20 sen sehari.

“Jadi, selepas mendapat pekerjaan di Segamat, pak cik rasa rugi sekiranya ilmu membuat dan meniaga sate itu tidak diteruskan. Jadi, pak cik membuat keputusan untuk menjual sate menaiki motor sebelum menggunakan kereta tolak seperti yang ada sekarang ini,” katanya.

Menurutnya, ketika berniaga, dia mengamalkan prinsip ‘biar untung sedikit tetapi senang laku’ dan percaya rezeki yang datang semuanya daripada ALLAH dan untuk diagih-agihkan kepada mereka yang memerlukan.

Tambah menarik, Samsuddin akan memberikan setiap kanak-kanak yang lalu di hadapan kedainya secucuk sate manakala bagi setiap warga emas yang datang membeli di kedainya mereka akan memperolehi harga diskaun iaitu 20 sen sucucuk.

“Masih ada keuntungan bila kita jual sate dengan harga 30 sen. Ini juga satu bentuk sedekah dan amalan begini boleh dilakukan oleh sesiapa saja yang meniaga. Sekurang-kurangnya lepas belanja dapur untuk isteri saya di rumah.

“Malah, bilangan pengunjung yang datang membeli sate di sini juga semakin bertambah dan rata-rata daripada mereka terkejut kerana masih boleh menikmati sate pada harga tersebut di masa sekarang,” katanya.

(Visited 3,051 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!