SEGAMAT – Hujan lebat tidak menghalang kesetiaan kira-kira 2,000 penduduk daerah ini untuk menantikan ketibaan konvoi Kembara Mahkota Johor di Dataran, Segamat, di sini, baru-baru ini.
Seorang warga emas, Aisyah Samad, 71, berkata, dia yang tinggal di Batu 2 Buloh Kasap, di sini, juga sanggup menaiki teksi untuk membawanya dan anaknya, Hamzita Mansor, 42, untuk ke Dataran Segamat.
“Mak cik minta teksi ambil mak cik di depan rumah kerana mak cik tak ada kenderaan untuk bergerak dan mak cik tak nak terlepas peluang berjumpa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Setiap kali KMJ mak cik tidak pernah terlepas dan sebelum ini semasa suami sihat, mak cik selalu pergi dengan dia apabila dia sakit, mak cik minta anak temankan mak cik dan dia juga bersetuju,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, dia yang tiba kira-kira pukul 11 pagi itu juga sempat mencari tempat berteduh sewaktu hujan lebat dan pergerakannya juga sedikit terbatas kerana tidak membawa tongkat dan mengalami sakit kaki.
Katanya, dia juga sedikit terkilan kerana hanya melihat Sultan Ibrahim dan kerabat diraja Johor dari kejauhan sahaja namun berbangga dengan keprihatinan Sultan Ibrahim yang sanggup berhujan semata-mata untuk mendekati rakyat.
Sementara itu, salah seorang pengunjung, Amin Shukri, 34, berkata, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan itu juga tidak menghalang dia bersama isteri dan dua anaknya untuk terus setia menanti ketibaan konvoi keluarga diraja itu.
“Saya dan isteri sanggup mengambil cuti semata-mata untuk bersama-sama merakam detik bersejarah ini walaupun terpaksa bermandi hujan bersama-sama pengunjung yang lain.
“Memang betul kerabat Diraja Johor ini berjiwa rakyat kerana sanggup memandu kereta di dalam hujan dan sebagai Bangsa Johor, saya bangga mempunyai pemimpin seperti ini,” katanya.
Sultan Ibrahim yang tiba pada jam 11.45 pagi itu diiringi Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dan suami, Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.
Turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien; Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan barisan Exco kerajaan negeri.
Comments