LABIS – Seorang ibu yang juga saudara baharu di Kampung Sawah Baru, di sini, bingung memikirkan nasib dua anak perempuannya yang masih belum menerima sijil perakuan memeluk Islam.

Bidu Anita Abu, 32, berkata, dua anak perempuannya iaitu Siti Aminah Abdullah, 12, dan Rahimah Shahira, 8, terpaksa menggunakan maklumat seperti nama dan status agama seperti dicatat di dalam sijil kelahiran sebagai Hindu walaupun telah lima tahun memeluk Islam.

Bidu Anita (tengah) melihat Siti Aminah (kanan) dan Rahimah Shahira (kiri) menunjukkan satu-satunya surat yang membuktikan mereka telah memeluk Islam
Bidu Anita (tengah) melihat Siti Aminah (kanan) dan Rahimah Shahira (kiri) menunjukkan satu-satunya surat yang membuktikan mereka telah memeluk Islam

“Saya berketurunan Orang Asli dan telah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki India pada tahun 2002 dan ketika mengandungkan anak ketiga, dia meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Johor Bahru lapan tahun lalu.

“Sebaik melahirkan anak ketiga, saya mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam dan bertemu jodoh serta mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan seorang lelaki Melayu tidak lama kemudian,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurutnya, Siti Aminah dan Rahimah juga memilih untuk tinggal bersamanya dan telah memeluk agama Islam secara beramai-ramai pada tahun 2011 di Bekok sementara anak sulungnya kini tinggal bersama keluarga mertuanya di Johor Bahru.

Katanya, dia juga buntu memikirkan apabila pada bulan Mei ini, Siti Aminah perlu memohon kad pengenalan selain berhadapan masalah sama ada untuk menggunakan nama Islam atau nama asalnya pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

“Saya sudah beberapa kali merujuk permasalahan saya ini kepada pihak yang bertanggungjawab namun sehingga kini tiada sebarang jawapan atau keputusan muktamad yang diberikan kepada saya.

“Jika sekali dua saya gagal bertemu dengan pegawai terbabit atas alasan tiada di pejabat mungkin boleh diterima, namun hampir setiap kali saya cuba mengadu masalah ini,ada sahaja alasan yang diberikan kepada saya,” katanya.

Menurutnya, dia bimbang sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap kedua-dua anaknya seperti kematian, masalah yang akan dihadapi olehnya akan bertambah rumit kerana tiada sebarang dokumen pengislaman yang sah.

Katanya, dia juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah ketika melakukan urusan anak-anaknya seperti pendaftaran sekolah agama gara-gara kelewatan pihak berwajib mengeluarkan sijil perakuan memeluk Islam kepada anaknya itu.

“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini memandangkan sudah lama kami memeluk Islam dan saya berharap ada pihak yang tampil membantu menyelesaikan masalah kami ini,” katanya.

(Visited 287 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!