SEGAMAT – Sebuah keluarga di Segamat Baru, di sini, berdepan suasanan panik selepas rumah mereka rosak teruk dihempap sebatang pokok reput berketinggian kira-kira 40 kaki dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, kelmarin.
Mangsa, P Sundaraju, 52, berkata, ketika kejadian, hujan turun dengan renyai dan dia bersama isteri, R Saraswathy, 46, serta anak sulungnya, S Shaarumathy, 21, sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen.
“Sedang asyik menonton televisyen, kami terdengar bunyi dentuman kuat dari atas bahagian bumbung sebelum beberapa keping siling terjatuh mengenai saya sehingga menyebabkan isteri saya pengsan seketika kerana terkejut.
“Ketika itu saya hanya memikirkan keselamatan isteri dan anak saya sahaja dan membawa mereka ke luar rumah sebelum terkejut mendapati sebatang pokok besar sudah menghempap bumbung rumah saya,” katanya kepada Komuniti Segamat, semalam.
Menurutnya, kejadian tersebut juga menyebabkan keseluruhan bumbung ruang tamu termasuk sebuah bilik tidur dan garaj keretanya rosak dan bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan teruk pada dirinya dan keluarga.
Katanya, sebuah kereta milik pelajar Kolej Vokasional Segamat yang diletakkan berhampiran kawasan itu turut rosak dihempap pokok tersebut selain menganggarkan jumlah kerugian kira-kira RM30,000.
“Mujur sebahagian pokok tersebut mengenai dahan pokok mangga di hadapan rumah dan tersangkut pada wayar elektrik dan jika tidak mungkin jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh saya semakin besar.
“Ini merupakan kejadian pertama sejak saya tinggal di rumah ini 10 tahun lalu dan buat sementara waktu, saya terpaksa menutup bahagian bumbung menggunakan kanvas bagi mengelakkan air hujan masuk ke dalam rumah,” katanya.
Menurutnya, dia juga mendapati kejadian bukan berpunca daripada ribut sebaliknya batang pokok tersebut yang sudah mereput dan dimakan anai-anai dan ini merupakan kejadian kali kedua rumah penduduk dihempap batang pokok di kawasan tersebut.
Katanya, dia juga meminta pihak bertanggungjawab seperti Majlis Daerah Segamat (MDS) menebang pokok-pokok besar berhampiran penduduk bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang pada masa hadapan.
“Saya sudah membuat laporan polis semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam), saya dimaklumkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan datang ke rumah untuk melihat sendiri rumah saya dan menilai jumlah kerosakan.
“Sehingga sekarang isteri dan anak perempuan saya masih trauma dan saya juga tidak berani untuk menggunakan sebarang peralatan elektrik di rumah ini kerana risau ada pendawaian elektrik yang sudah rosak,” katanya.
Comments