RM92 juta diluluskan untuk Jalan Yong Peng-Labis
LABIS – Penduduk Parlimen Labis dan pengguna Jalan Yong Peng – Segamat boleh menarik nafas lega apabila kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM92 juta bagi menaik taraf laluan sepanjang kira-kira 70 kilometer tersebut.
Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, kerja-kerja menaik taraf jalan persekutuan tersebut yang merupakan pintu masuk utama ke Parlimen Labis sedikit sebanyak mampu meningkatkan ekonomi serta pembangunan di kawasan Labis apabila siap kelak.
“Sebenarnya kita menyedari perhubungan jalan raya yang tidak begitu selesa sebelum ini memberi kesan terhadap pembangunan kawasan Parlimen Labis yang kaya dengan hasil pertanian serta tempat-tempat menarik yang boleh dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.

Tee Yong (tiga,kanan) selepas merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Perkampungan Orang Asli Kawasan Bekok
“Selain menaiktaraf jalan, peruntukkan tersebut juga akan digunakan untuk menaiktaraf beberapa jambatan berkembar yang terdapat di sepanjang laluan tersebut kerana keadaan jambatan tersebut boleh mengundang padah kepada pengguna jalan tersebut,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Perkampungan Orang Asli Kawasan Bekok di Balairaya Kampung Kudong, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, usaha untuk mendapatkan peruntukan dari kerajaan persekutuan untuk menakitaraf jalan tersebut sudah pun dilakukan sejak tiga tahun lalu, namun hanya mendapat kelulusan baru-baru ini.
“Ini membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap sebarang masalah yang dihadapi oleh rakyat dan penduduk di sini perlu merebut peluang untuk meningkatkan ekonomi mereka kerana jalan raya yang selesa itu nanti akan membawa limpahan ekonomi serta pembangunan ke kawasan Labis apabila siap sepenuhnya nanti.
“Projek tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan mungkin akan memakan masa agak lama dan sepanjang tempoh tersebut mungkin terdapat beberapa gangguan dan kesulitan yang akan dihadapi oleh pengguna jalan raya,” katanya.
Menurutnya, beliau berharap pengguna jalan raya dapat bersabar dan memahami bahawa kesulitan yang mereka hadapi sepanjang tempoh tersebut adalah bersifat sementara sebelum menikmati kemudahan serta keselesaan kerja tersebut siap sepenuhnya.
Pada masa sama, kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan masyarakat Orang Asli khususnya di Parlimen Labis dalam memastikan mereka menikmati kemudahan infrastruktur sama seperti kaum lain.
“Sepanjang tahun lepas empat perkampungan Orang Asli yang berada di dalam Parlimen Labis telah menikmati peruntukan pembinan jalan kampung sejauh 9.5 kilometer di Kampung Juaseh, Kampung Kudung dan Kampung Segamat Kecil.
“Dengan adanya kemudahan jalan raya berturap ini saya berharap ia mampu memudahkan perhubungan perkampungan tersebut dengan dunia luar selain mampu membawa arus pembangunan ke kawasan berkenaan,” katanya.


