LABIS – Sejumlah RM 800,000 diperuntukan untuk menaik taraf Dataran Labis yang dijangka akan bermula pada pertengahan bulan Julai depan.
Ketua Whip Majlis Daerah Labis (MDL), Mansur Birat berkata, daripada jumlah tersebut, RM300,000 adalah peruntukan daripada MDL sementara 500,000 lagi adalah peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah ( KKLW).
“Ketika ini pihak MDL sedang dalam peringkat menentukan skop kerja dan selepas itu proses pemilihan kontraktor sebelum kerja-kerja menaiktaraf dijalankan.
“Jika mengikut perancangan, kerja-kerja menaiktaraf akan bermula pada pertengahan Julai nanti dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember tahun ini,” katanya kepada media baru-baru ini.
Katanya, kerja-kerja naik taraf yang akan dijalankan termasuklah melebarkan trek pejalan kaki yang terdapat di sekeliling dataran kepada 20 kaki lebar berbanding hanya enam kaki lebar ketika ini.
Menurutnya, kawasan padang juga akan dinaikkan setinggi enam inci dengan pembinaan baharu sistem saliran di bawah tanah seperti yang terdapat di padang-padang bolasepak stadium.
Tambah Mansur lagi, bagi memberi keselesaan kepada pengunjung, MDL juga akan menukar jubin lantai di kawasan dataran itu memandangkan jubin sedia ada sudah rosak dan tertanggal.
“Sepanjang tempoh kerja-kerja menaik taraf dan memperindahkannya, kawasan tersebut akan ditutup kepada orang ramai dan semua acara kira-kira lima bulan.
“Diharapkan orang ramai terutama pembayar cukai akan berasa lebih selesa untuk berkunjung dan beriadah di kawasan tersebut yang menjadi lokasi pelbagai acara termasuk acara rasmi,” katanya.
Comments