SEGAMAT – Pekebun kecil getah di daerah ini yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menerima peruntukan sebanyak RM548,345 melalui Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, dengan kadar bantuan RM317 sehektar, anggaran keluasan kebun di daerah ini yang menerima bantuan tersebut adalah seluas 1,729 hektar.
“Bantuan ini merupakan bantuan tambahan dan diberikan kepada pekebun kecil yang mempunyai kebun getah matang dan bertoreh yang kehabisan bantuan bagi memastikan produktiviti mereka dapat ditingkatkan.
“Melalui SIPG ini, Risda akan bekalkan baja Risda 4 sebanyak 15 beg per hektar, tiga botol bahan rangsangan pengeluaran susu getah jenis Etofon dan Motex serta satu botol cuka pembeku susu getah,” katanya.
Beliau yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Gerakan Peningkatan Produktiviti (GPP) Peringkat Risda Daerah Segamat di Balairaya Kampung Genuang Baru, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pegawai Risda Segamat, Nor Afzami Isa dan Ketua Kampung Genuang Baru, Abdul Rahman Marjo.
Menurutnya, bagi menangani peningkatan kos sara hidup, Risda juga baharu memperkenalkan Program Laman Kebun dengan kadar bantuan RM1,000 sekeluarga meliputi tanaman jangka pendek dan jangka panjang.
“Skop bantuan adalah terdiri daripada medium tananam, benih tanaman, perkakasan asas, baja dan racun kimia serta perlu berdaftar dengan Risda selain keutamaan diberi kepada individu yang berada dalam kumpulan pertengahan 40 (B40).
“Walaupun ekonomi negara berada dalam keadaan tidak stabil dan kejatuhan harga komoditi getah serta sawit, kerajaan melalui Risda sentiasa berusaha membela nasib pekebun kecil di negara ini,” katanya.
Pada masa sama, Risda juga sedang dalam usaha mengedarkan kad pengenalan pekebun kecil (SIC) hasil daripada bancian yang dilakukan pada tahun lalu bagi memudahkan lagi penyampaian bantuan dan sebagainya.
“Pekebun kecil getah juga perlu sentiasa berusaha mengukuhkan ekonomi masing-masing dengan mempelbagaikan lagi hasil produk pertanian dan tidak bergantung kepada satu pengeluaran sahaja.
“Selain itu, pekebun juga wajib mematuhi sistem Amalan Pertanian Baik (GAP) bagi memastikan dalam tempoh empat tahun setengah, pokok getah yang ditanam semula boleh ditoreh dan dalam tempoh dua tahun setengah, pokok sawit boleh dituai hasilnya,” katanya.
Comments