SEGAMAT – Seorang pengusaha pusat percetakan di Bandar Utama, di sini, boleh menarik nafas lega apabila perniagaannya yang dimulakan lima tahun dahulu dengan modal permulaan sebanyak RM5,000 mula mendapat tempat di daerah ini.

Mohd Aidil Sulaiman, 32, yang merupakan pemilik Syarikat Mix Linac berkata, dia mula menceburkan diri di dalam bidang perniagaan pada tahun 2011 selepas hampir enam tahun bekerja di dalam bidang grafik dan pengiklanan.

“Berbekalkan pengalaman dan duit simpanan sebanyak RM5,000 ketika itu, saya nekad untuk menyewa sebuah kedai kecil di Bukit Siput yang hanya dilengkapi dengan sebuah komputer sahaja.

“Disebabkan tiada mesin pencetak industri ketika itu, saya hanya mengambil tempahan menghasilkan rekaan grafik dan menghantar ke kedai lain untuk dicetak sebelum pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) diluluskan pada tahun 2012,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Katanya, dengan pinjaman tersebut juga, dia mula membeli mesin pencetak dan mesin pemotong pelekat sendiri sebelum menyewa sebuah lagi kedai pada tahun 2012 di Bandar Utama, di sini, selepas mendapat permintaan yang memberangsangkan.

Menurut suami kepada Nur Asnita Ayob, 29, dan bapa dua anak tersebut, ketika itu syarikat percetakannya merupakan salah satu syarikat percetakan Bumiputera yang terawal di daerah ini selain mengakui terpaksa bekerja keras untuk membina keyakinan kepada para pelanggannya.

“Walaupun terpaksa bersaing dengan pengusaha-pengusaha lain yang lebih awal daripada saya, saya tidak menganggapnya sebagai masalah kerana saya sentiasa berpegang kepada prinsip saya iaitu industri kreatif adalah sumber ekonomi.

“Saya mempunyai visi yang sangat besar dalam bidang ini iaitu mahu memperluaskan industri kreatif dalam bidang pengiklanan dan percetakan selain mewujudkan satu organisasi bumiputera yang berdaya saing secara global dan membuka peluang pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, syarikatnya kini juga mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat apabila mempunyai lapan pekerja sepenuh masa selaras dengan permintaan yang semakin meningkat di dalam bidang pengiklanan dan percetakan.

Katanya, dia kini turut memiliki dua mesin pencetak industri selain mempunyai bengkel untuk kerja-kerja pertukangan kayu dan besi serta menjalin hubungan baik dengan pengusaha-pengusaha percetakan bumiputera di daerah ini.

“Di sini (Mix Linac), kami menawarkan perkhidmatan dari segi reka bentuk sehingga ke pemasangan dan kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan.

“Saya sendiri merupakan seorang individu yang minat kepada reka bentuk dan perniagaan dan apa yang saya perolehi sekarang adalah dari usaha keras saya sendiri memandangkan keluarga saya bukan keluarga berniaga,” katanya.

Menurutnya, di atas dasar minat dan cinta kepada seni, Aidil turut membuka sebuah lagi kedai iaitu Bingkai Bingkai, kedai yang menjual lukisan seni dan bingkai gambar berhampiran Mix Linac pada Oktober lalu , dan menganggap perniagaannya itu satu pelaburan di masa hadapan.

(Visited 3,996 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!