LABIS – Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada pelajar-pelajar sekolah di daerah Segamat melibatkan peruntukan sebanyak RM429,618 pada tahun ini.
Kadi Daerah Segamat, Bahrin Jalal berkata, sejumlah RM267,890 telah disalurkan kepada pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah sementara bakinya sebanyak RM161,728 kepada murid sekolah agama di daerah ini.
“Penerima merupakan daripada keluarga asnaf dan bantuan yang dihulurkan termasuklah pakaian sekolah, bantuan makanan sihat serta sumbangan kepada tabung badan kebajikan sekolah agama.
“Diharapkan sumbangan yang dihulurkan oleh kerajaan negeri ini mampu membantu penerima untuk menimba ilmu dengan lebih selesa seterusnya mencapai kecemerlangan dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Kawasan Dun Tenang di Sekolah Agama Felda Tenang.
Turut hadir menyempurnakan majlis ialah Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim, dan Pegawai Pendidilan Islam Daerah Segamat, Mohd Faiz Rohani.
Menurutnya, di Dun Tenang pula, 24 buah sekolah melibatkan 10 sekolah agama, 11 buah sekolah rendah dan tiga sekolah menengah menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM230,130.
Katanya, bagi sekolah agama di kawasan Dun Tenang pula, sejumlah RM187,193 telah disalurkan dalam bentuk pakaian sekolah, bantuan khas persekolahan, bantuan pemakanan sihat dan badan kebajikan sekolah agama.
Sementara itu, Mohd Azahar dalam ucapan perasmaiannya berkata, bantuan yang dihulurkan merupakan salah satu usaha bagi memastikan golongan asnaf tidak tercicir dalam bidang pendidikan.
“Sumber wang bantuan ini adalah wang zakat yang dibayar oleh umat Islam di negeri ini dan saya harap kesedaran terhadap kewajiban membayar zakat dalam kalangan umat Islam di negeri ini dapat ditingkatkan.
“Selain itu, saya juga berharap hubungan baik dan kerjasama antara ibu bapa dengan guru-guru dapat dikekalkan bagi memastikan anak-anak kita mampu mencipta kecemerlangan pada masa hadapan,” katanya.
Comments