LABIS – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memperuntukkan lebih RM2.6 juta bagi menaiktaraf capaian telekomunikasi di 13 kawasan di Parlimen Labis sejak bulan Januari hingga September tahun ini.
Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, beliau sering mendapat rungutan daripada penduduk di beberapa kawasan di sini berkenaan akses telekomunikasi dan capaian internet yang terhad dan tidak memuaskan.
“Selain itu, terdapat juga sesetengah kawasan terutamanya di kawasan pedalaman tidak mempunyai sebarang liputan telefon dan disebabkan itu kerja-kerja menaiktaraf talian telekomunikasi ini sedang giat dijalankan.
“Penduduk di kawasan terlibat dijangka dapat menikmati kemudahan telekomunikasi dari syarikat-syarikat telco utama selewat-lewatnya pada hujung tahun ini apabila semua kerja yang sedang dijalankan siap sepenuhnya,” katanya.
Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke tapak menara telekomunikasi di Kampung Tenang, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah SKMM Wilayah Selatan, Mohd Sufian Abdul Sukor; Ketua Pejabat SKMM Wilayah Selatan, Roszeta Kassim dan wakil pembekal telekomunikasi Maxis.
Menurutnya, antara kawasan yang terlibat ialah Kampung Asli Kudong, Kampung Asli Tamok, Kampung Tenang, Pekan Air Panas, Air Terjun Sungai Bantang, Kampung Tenang, Felda Tenang, Bukit Mambai dan Kampung Sawah Padi.
“Kos pembinaan pencawang ini ditanggung oleh SKMM daripada dana yang ada hasil daripada pembayaran sebanyak enam peratus keuntungan syarikat telco kepada kerajaan yang dikembalikan semula kepada rakyat dengan cara pembinaan menara pemancar ini.
“Syarikat telco mungkin tidak berminat untuk menyediakan perkhidmatan sekiranya penduduk di satu-satu kawasan terlalu kecil dan tidak menguntungkan mereka kerana kos membina sebuah menara serta peralatan lain memakan kos lebih RM1 juta,” katanya.
Menurutnya, SKMM juga telah menetapkan agar syarikat telco dapat berkongsi menara pemancar mereka dengan syarikat telco yang lain, namun proses untuk mendapat kelulusan serta kerja-kerja pemasangan peralatan memerlukan tempoh kira-kira satu tahun.
Katanya, walaupun sudah terdapat menara telekomunikasi, kos peralatan serta lesen untuk menyediakan perkhidmatan tersebut menelan kos di antara RM300,000 dan SKMM selalunya akan menggunakan wang dana tersebut sekiranya terdapat keperluan mendesak.
“Saya berharap selepas ini penduduk di Parlimen Labis akan mendapat liputan telefon bimbit dan internet yang lebih baik kerana pengunaan telefon bimbit merupakan satu keperluan yang mendesak ketika ini,” katanya.
Comments