SEGAMAT – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memohon peruntukkan daripada kerajaan pusat sebanyak RM17 juta bagi membina benteng banjir di antara Kampung Jawa dan Felda Medoi, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, cadangan membina benteng tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan pusat sejak dua tahun lalu namun masih belum diluluskan sehingga sekarang.

“Sekiranya peruntukkan pembinaan benteng ini diluluskan, saya percaya limpahan air dari Sungai Segamat dapat dikawal dan kawasan-kawasan rendah di sekitar Kampung Jaawa dan Felda Medoi juga akan lambat dinaiki air.

“Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di daerah ini juga turut membantu mempercepatkan proses air surut pada kali ini yang hanya memakan masa beberapa jam berbanding selama beberapa hari setiap kali berlaku banjir sebelum ini,” katanya.

Ayub yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Pasca Banjir 2017 di Balai Air Bah, Kampung Paya Pulai, di sini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Amona Infra Care Sdn. Bhd., Datuk Mazlan Mohamad, Pengerusi Majlis Belia Daerah Segamat, Salleheen Mohamad dan Ketua Kampung Paya Pulai, Mohamad Alwi.

Menurutnya, RTB yang melibatkan enam fasa dan kos sebanyak RM231 juta di daerah juga telah terbukti berfungsi dengan baik sewaktu banjir yang melanda daerah ini, baru-baru ini, sekaligus mampu mengurangkan kemusnahan harta benda penduduk.

“Setakat ini, semua fasa telah selesai kecuali fasa keenam yang melibatkan landasan keretapi di Jalan Genuang yang menjadi salah satu penghalang projek RTB kerana menyekat kelancaran laluan air dari Sungai Genuang.

“Selagi projek pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) tidak dimulakan, masalah ini tidak akan selesai dan tidak akan dapat mengurangkan risiko banjir dan kerosakan harta benda penduduk di daerah ini,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin sekiranya kelancaran projek RTB dan pembinaan benteng ini berjalan lancar, risiko banjir di Bandar Segamat dan kawasan sekitarnya dapat dikurangkan sehingga 70 peratus.

Sementara itu, Mazlan berkata, Amona Infra Care yang diberi tanggungjawab untuk menyelenggara jalan-jalan di daerah Segamat, Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Kluang sedang membuat laporan mengenai jalan yang rosak dan terjejas banjir.

“Setakat ini, hanya jalan di Segamat dan Tangkak sahaja yang terjejas banjir dan laporan tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membolehkan arahan membaiki jalan dikeluarkan.

“Bagaimanapun, jalan-jalan yang berlubang akan ditampal dalam tempoh 24 jam kecuali jalan-jalan yang runtuh atau berlaku hakisan kerana memerlukan proses reka bentuk daripada JKR,” katanya.

(Visited 466 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!