SEGAMAT – Masalah banjir kilat dan air termenung yang dihadapi oleh beberapa keluarga di Kampung Spang Loi, di sini, akan berakhir selepas kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk kerja membina dan menyiapkan benteng sungai.
Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad berkata, projek sepanjang 1.3 kilometer dengan ketinggian 0.3 hingga satu meter itu turut melibatkan pembinaan tebatan banjir, naik taraf jambatan dan pelebaran sistem perparitan di sekitar Batu Anam, di sini.
“Selain melebar dan mendalamkan Sungai Senarut di Batu Anam, longkang konkrit berhampiran penempatan penduduk turut dinaiktaraf untuk mengurangkan risiko banjir kilat terutamanya di musim tengkujuh oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Projek ini yang akan bermula pada bulan September ini juga diharapkan mampu menyelesaikan isu limpahan air sungai di kawasan ini dan seterusnya mengurangkan risiko kejadian banjir,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Spang Loi, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; Penolong Jurutera JPS Daerah Segamat, Hamizan Abdul Hamid dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat, Rusyidatul Mat Yaakob.
Menurutnya, dalam kejadian 28 Jun lalu, sembilan mangsa banjir terdiri daripada dua keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir selepas rumah mereka dinaiki air akibat limpahan air sungai Muar ekoran air yang turun dari Sungai Kelamah, Negeri Sembilan.
Katanya, semasa banjir yang berlaku pada awal tahun ini, seramai lebih kurang 69 buah keluarga dan 225 jumlah mangsa banjir yang terlibat di kawasan ini dan berharap projek ini mampu menyelesaikan kemelut yang terpaksa dihadapi penduduk.
Sementara itu, salah seorang mangsa banjir, Halimah Sulaiman, 36, berkata, sejak Rabu minggu lalu, dia bersama suami dan empat anaknya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan ini kerana rumah mereka dinaiki air sehingga 1.5 meter.
“Kebiasaannya, keluarga saya merupakan mangsa banjir yang terawal berpindah ke pusat pemindahan dan keluarga terakhir yang akan pulang kerana masalah air termenung yang mengambil masa sehingga beberapa minggu.
“Saya berharap dapat pulang ke rumah dalam masa terdekat kerana sesi persekolahan juga sudah bermula dan berharap projek yang diumumkan ini mampu mengatasi masalah yang membelenggu kami selama beberapa tahun,” katanya.
Comments