SEGAMAT – Kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat luar bandar khususnya keluarga pekebun kecil dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka melalui pelbagai bantuan dan cara.
Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, diantaranya adalah melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang telah melaksanakan Program Pembangunan Institusi Pekebun Kecil (PIPK).
“PIPK ini melibatkan dua kumpulan sasar iaitu Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) yang dianggotai oleh isteri-isteri pekebun kecil dan Kelab Generasi Muda Risda (KGMR) yang dianggotai oleh anak-anak pekebun kecil atau penoreh.
“Ini kerana, dalam usaha untuk membentuk masyarakat pekebun kecil yang progresif dan sejahtera, Risda bukan sahaja membantu pekebun kecil dan penoreh sahaja, malah turut membantu ahli keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Pemantapan PWPK Peringkat Risda Daerah Segamat di Dewan Kolej Komuniti Segamat (KKS), baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pegawai Risda Segamat, Nor Afzami Isa dan Ketua Jabatan Kejuruteraan dan Kemahiran KKS, Aslinda Mohd Noor.
Menurutnya, PWPK sendiri ditubuhkan oleh Risda untuk memajukan institusi pekebun kecil yang rata-ratanya terlibat dengan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya di luar bandar.
“Bagi daerah Segamat, terdapat 20 PWPK yang ditubuhkan dan bergiat aktif serta mempunyai keanggotaan seramai 276 dan saya meminta pengerusi serta ahli jawatankuasa PWPK bergerak lebih aktif dan boleh menjalankan aktiviti dengan sendirinya.
“Objektif penubuhan PWPK itu sendiri adalah untuk melahirkan usahawan berjaya terutamanya isteri dan beliawanis pekebun kecil selain meningkatkan pendapatan pekebun kecil RM4,000 sebulan sekeluarga menjelang tahun 2020,” katanya.
Pada masa sama, Anuar menggesa PWPK di daerah ini untuk merebut Bantuan Baik Pulih Bengkel dan Penubuhan Baru PWPK dengan bantuan maksimum RM5,000 yang telah disediakan oleh Risda.
Katanya, bantuan ini adalah terhad kerana peruntukan yang disediakan oleh seluruh negeri Johor hanya sebanyak RM90,000 dan berharap PWPK di daerah ini tidak akan melepaskan peluang tersebut.
Comments