SEGAMAT – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta bagi projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) tahun ini bagi pekebun kecil yang berdaftar dengan Risda.
Pengarahnya, Daman Huri Toha berkata, melalui projek AET ini, pihaknya memberi fokus kepada pembangunan usahawan yang disertai isteri dan pekebun kecil itu sendiri agar dapat membantu keluarga dengan menjana pendapatan tambahan.
“Pada tahun 2016, daerah Segamat telah menerima RM244,600 untuk AET dan RM100,000 bagi Program Laman Kebun dan pada tahun 2017 pula, peruntukan AET di daerah ini adalah RM240,000 dengan anggaran 12 penerima atau projek perniagaan pekebun kecil.
“AET ini juga merupakan salah satu program atau sayap kedua Risda bagi membangunkan masyarakat pekebun kecil itu sendiri tanpa hanya bergantung kepada tanaman getah walaupun berlakunya peningkatan harga getah, baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu Karnival Usahawan Risda Peringkat Daerah Segamat yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat di Pasaraya One Segamat, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pegawai Risda Daerah Segamat, Nor Afzami Isa dan Penolong Pegawai Daerah Segamat, Mohd Fahmi Zakaria.
Menurutnya, di Johor sahaja, Risda mempunyai seramai 2,023 usahawan AET termasuk 300 usahawan di daerah ini dan merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meletakkan pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 bagi setiap isi rumah pekebun kecil.
Sementara itu, Ayub meminta pekebun kecil di negeri ini supaya tidak menyalahgunakan pemberian input pertanian yang diberikan oleh Risda sebaliknya memanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan sosioekonomi golongan sasar.
“Selain bantuan usahawan ini, Risda telah menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada pekebun kecil termasuk benih, baja serta bantuan tanam semula bagi meningkatkan hasil getah dan sawit yang menjanjikan pulangan pendapatan lebih baik.
“Industri getah negara mempunyai masa depan cerah kerana penggunaan getah asli semakin mendapat sambutan dan ditambah pula harga komoditi itu di pasaran dunia yang semakin meningkat naik,” katanya.
Pada masa sama, Ayub yang juga Adun Kemelah berkata, beliau meminta usahawan Risda di daerah ini merebut peluang pembinaan medan niaga baharu di Bandar IOI, di sini, dengan mengemukakan pelan perniagaan terlebih dahulu.
Menurutnya, pembinaan premmis 21 lot itu juga berkonsepkan Kilang Bateri di Johor Bahru selain mahu memastikan peniaga yang betul-betul layak sahaja dapat meniaga di kawasan tersebut dan pada masa sama mewujudkan persaingan yang sihat
Comments