LABIS – Pulut periuk kera yang sinonim dengan hari raya dalam kalangan masyarakat Melayu di sini mungkin tidak dapat dinikmati dalam beberapa tahun akan datang akibat periuk kera yang merupakan sejenis timbuhan menjalar itu semakin pupus disebabkan kerakusan pihak tertentu membersihkan hutan dan kebun yang menjadi kawasannya tumbuh subur sebelum ini.

Kini, periuk kera hanya boleh didapati di kawasan berpaya dalam hutan tebal di sekitar Muadzam Shah serta kawasan sekitarnya di Rompin, Pahang serta hutan di Kota Tinggi, Johor berbanding sekitar tahun 70an yang mudah ditemui sekitar kebun penduduk kampung di sini sekitar tahun 70an.

Kepupusan tumbuhan tersebut di sekitar Labis telah membuka pintu rezeki Othman Ibahim,65, besama anak saudaranya, Mohd Saiful Mohd Salleh,29, untuk meraih pendapatan lumayan sebagai pembekal kantung periuk kera berikutan permintaan tinggi daripada penduduk setempat.

Setiap kali musim perayaan mereka mampu menjual kira -kira 40,000 biji periuk kera dengan harga 25 sen sebiji dan selalunya mereka berdua masih mendapat tempahan daripada penduduk setempat untuk majlis rumah terbuka sepanjang bulan Syawal ini.

Selepas menunaikan solat subuh mereka bersiap memulakan perjalanan hampir dua jam menuju ke Muadzam Shah untuk mencari periuk kera bagi memenuhi permintaan pelanggannya.

“Hari ini kami berdua perlu mengutip sebanyak tujuh ribu biji periuk kera yang memakan masa sekitar lapan jam bagi memenuhi tempahan beberapa pelanggan yang berhasrat menjadikannya sebagai hidangan di lagi raya nanti.

Othman sedang mengasingkan periuk kera yang baru diambilnya mengikut saiz sebelum diasingkan dan dibungkus

“Kerja mencari periuk kera tidak semudah yang disangka, kami bukan sahaja terpaksa berdepan cabaran meredah semak di kawasan paya berair, tetapi berdepan bahaya kemungkinan bertembung binatang buas atau haiwan berbisa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Namun menurutnya, dia berasa bersyukur sepanjang tempoh lima tahun mencari periuk kera dia belum pernah berdepan situasi mencemaskan kecuali beberapa kali terserempak ular sawa yang tidak mengancam keselamatan mereka berdua.

Ujarnya lagi, walaupun kerja mencari periuk kera memenatkan, namun dia gembira melakukannya bukan sekadar disebabkan hasil lumayan yang diperolehinya semata-mata, sebaliknya dia berbangga dapat membantu makanan tradisi tersebut dapat terus bertahan dan dinikmati oleh generasi muda.

Sementara itu, Mohd Saiful pula berkata, seperti juga kerja lain, mencari periuk kera juga ada pantang larangnya termasuk perlu menjaga tingkah laku selain perlu berhati-hati ketika memetiknya dari gugusan bagi mengelakkannya layu dan mati.

Mohd Saiful menunjukan periuk kera yang berjaya dikutipnya bersama Othman dalam tempoh lapan jam.

“Periuk kera juga tidak boleh dipetik menggunakan sebarang alat yang diperbuat daripada besi seperti pisau dan gunting kerana ianya dikatakan ‘kalah’ dan akan mati, jadi kami perlu menggunakan tangan untuk memetiknya walaupun tangkainya liat.

“Untuk memastikan periuk kera tidak mudah layu dan boleh bertahan sehingga dua minggu, pencari periuk kera perlu memastikan air yang terdapat dapat di dalamnya tidak dibuang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pekan Air Panas.

Menurutnya, periuk kera memerlukan tempoh sekitar lapan hingga sembilan bulan sebelum matang dan mempunyai saiz yang sesuai bergantung kepada persekitaran serta naungan serta jumlah cahaya matahari yang diperolehi sebelum boleh dikutip dan boleh dijual.

Tambahnya, memandangkan ianya rapuh dan mudah pecah, proses mengumpul dan memunggahnya dari kawasan hutan ke kereta juga perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikannya tidak rosak sebelum diserahkan kepada pelanggan.

“Memandangkan periuk kera semakin sukar diperolehi dan kawasan pencarian semakin jauh ke dalam hutan setiap tahun, saya pernah beberapa kali mencuba mengambil potongan pokoknya untuk ditanam, namun setakat ini usaha saya masih belum berjaya.

“Saya harap ada pihak yang berminat untuk membuat kajian tentang cara dan kesesuaian kawasan untuk membiakkan tumbuhan menjalar tersebut sebagai tanaman di kawasan penduduk kampung bagi memastikan makanan tradisi ini tidak lenyap,” katanya.

TIDAK SEMPURNA PAGI RAYA TANPA HIDANGAN PERIUK KERA

Kemeriahan pagi Syawal tidak lengkap sekiranya tiada hidangan pulut periuk kera sebagai juadah istimewa yang dihidang bersama rendang atau kari bagi peminat makanan tradisi tersebut.

Salah seorang peminat makanan tersebut, Ismail Abd Ghani,60, dari Felda Redong dekat sini mengakui tidak pernah ketinggalan menghidangkan juadah tradisi tersebut dipagi raya sejak lebih 30 tahun lalu.

“Berbanding lemang, penyediaan pulut periuk kera lebih mudah dan rasanya pun tidak banyak berbeza kerana ianya diperbuat menggunakan bahan yang sama iaitu beras pulut dan santan kelapa sahaja.

Pulut periuk kera yang sudah siap dimasak dan sedia untuk dihidangkan bersama rendang atau lauk pauk lain

“Perbezaannya, hanyalah lemang dibuat menggunakan buluh dan perlu dibakar, sementara pulut periuk kera hanya perlu di kukus dan masa yang diambil untuk membuatnya juga hanya sekitar 20 minit berbanding lemang yang memerlukam sehingga lebih satu jam,” katanya.

Menurutnya, untuk menyediakan hidangan pulut periuk kera, beras pulut perlu dibersih dan direndam selama empat hingga lima jam sebelum ditoskan kemudian pulut yang telan ditoskan itu perlu dimasukkan ke dalam santan kelapa dan ditambah garam sebagai perasa.

Selepas itu, proses mengisi pulut ke dalam periuk kera boleh dilakukan dengan mengisi hingga paras tiga perempat pulut dalam periuk kera sebelum mengisi santan sehingga beras pulut itu tenggelam.

Proses terakhir katanya adalah mengukus periuk kera tersebut sekitar 15 hingga 20 minit sebelum ianya masak dan boleh dihidangkan dengan lauk pauk seperti rendang atau masakan kari.

Sementara itu, Mohd. Salleh Misnan, 53, mengakui dia turut menggemari pulut periuk kera selepas pertama kali menjamahnya di rumah seorang rakan semasa baru-baru tinggal di Labis lebih kurang 25 tahun lalu.

Katanya, sebelum itu dia yang berasal dari Pontian tidak pernah mengetahui makanan tradisi tersebut yang disifatkannya begitu enak dan lebih lembut berbanding lemang yang ada kalanya keras akibat berkerak jika terlalu lama dibakar.

“Kini pulut periuk kera bukan sahaja di gemari oleh saya sahaja, sebaliknya semua ahli keluarga dan saudara mara yang berkunjung ke rumah saya pada hari raya.

“Malah ramai dalam kalangan mereka bukan sahaja gemar menikmati juadah tersebut, malah tidak kurang yang berminat untuk belajar dan membuatnya sendiri selain meminta bantuan saya untuk membeli periuk kera,” katanya.

FAKTA MENGENAI PERIUK KERA

Nama Botani : Nepenthes spp.
Famili : Nepenthaceae

Tumbuhan karnivor yang tumbuh meliar di kawasan lembab dan terbuka.

Unik kerana mempunyai penutup yang menghalang air hujan dan bertakung di dalamnya.

Bahagian dasar mengandungi pepsin iaitu sejenis bahan kimia berfungsi menghadam serangga dan menukarkannya kepada nutrien untuknya.

Membiak melalui pecahan rumpun.

Spesis yang terdapat di Malaysia ialah :-

a) Nepenthes albormarginata turut dikenali N tomentella Miq
b) Nepenthes ampullaria juga dipanggil N ampullaceae Low
c) Nepenthes bicalcarata
d) Nepenthes edwardsiana
e) Nepenthes fusca
f) Nepenthes rafflesiana

Kadang-kala terdapat di paya gabus, kerangas, katu kapur, hutan dipterocarp bercampur, hutan submontane dan montane, dari paras laut sehingga 2,700 meter.

Dalam kalangan kumpulan orang asli Semelai, satu dari hidangan istimewa mereka adalah pulut yang dimasak di dalam kantung periuk kera.

(Visited 2,888 times, 1 visits today)

Comments

  • Nasaruddin yahaya
    Reply

    Mana nak dptkan org yg boleh cari periuk kera? Minta no telefon

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!