SEGAMAT – Musim tengkujuh yang kebiasaannya tiba pada penghujung tahun sering dinanti oleh nelayan sungai di daerah ini kerana mampu membawa limpahan rezeki yang lumayan kepada mereka.
Bagi Ishak Ayok, 60, yang merupakan nelayan sungai di Kampung Tekam, di sini, berkata, musim tengkujuh sememangnya dinantikan oleh nelayan sungai kerana ketika itu mereka akan memperolehi tangkapan lumayan pelbagai jenis ikan.
“Musim tengkujuh bagi kami seumpama musim menuai bagi penanam padi kerana ketika itu paras air sungai akan naik dan lazimnya tangkapan kami akan meningkat berlipat kali ganda kerana ketika itu ikan akan keluar daripada lubok.
“Sebagai contoh, hari ini (semalam) seekor ikan tapah seberat 8.6 kilogram tersangkut dijaring yang saya pasang di mana spesies ini begitu sukar ditemui di luar musim tengkujuh,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, dia yang sudah menjadi nelayan sungai sejak 30 tahun lalu berkata, harga pasaran ikan tapah ketika ini mencecah sehingga RM80 sekilogram dan lebih mahal berbanding ikan sungai yang lain seperti patin dan baung.
Katanya, kebiasaan dia juga akan mengambil ikan daripada nelayan-nelayan sungai yang lain untuk dijual dan sepanjang musim tengkujuh ini dia mampu menjual kira-kira 100 kilogram pelbagai jenis ikan sungai seperti udang galah, lampam, patin dan baung.
Bagi Mohamad Ahmad, 60, berkata, sepanjang musim tengkujuh ini, dia bersama isterinya, Aisyah Hamid, 55, akan turun ke sungai setiap hari dan adakalanya terpaksa bermalam di tepi sungai semata-mata untuk menangkap ikan menggunakan ambai.
“Saya akan membawa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi sekiranya ingin keluar seharian menangkap ikan dan kebiasannya pada musim tengkujuh ini kami tidak akan pulang dengan tangan kosong.
“Secara purata, saya boleh mendapat kira-kira 15 kilogram ikan setiap hari dengan pendapatan kira-kira RM300 dan jika di luar musim ini, sukar untuk kami memperolehi ikan dan adakalanya langsung tidak dapat,” katanya.
Bagaimanapun, limpahan rezeki ini hanya kira-kira sebulan sahaja dan musim ini merupakan masa terbaik bagi nelayan sungai seperti dirnya membeli peralatan baharu seperti perahu, enjin sangkut atau peralatan menangkap ikan.
Bagi Samad Ayok, 52, berkata, pada musim tengkujuh, seorang nelayan sungai mampu memperolehi pendapatan sehigga RM6,000 semusim berbanding hanya beberapa ratus pada hari-hari biasa.
“Jika bernasib baik dan kena pada tempatnya, lukah, jaring atau ambai yang dipasang oleh kami boleh mendapat ikan baung sehingga 200 kilogram yang boleh dijual dengan harga RM30 sekilogram,” katanya.
Comments