LABIS – Ramai yang tidak menyedari potensi pasaran burung merpati hiasan boleh dijadikan sumber pendapatan lumayan sekiranya diternak secara komersial sehingga boleh mencecah nilai ribuan ringgit bagi seekor burung merpati.
Atas dasar itulah, Sham Idris, 46, dari Felda Tenang, si sini, tekad untuk mengembangkan lagi minatnya memelihara dan menjual unggas tersebut sebagai salah satu cara untuk menambah pendapatannya.
Menurutnya, minatnya terhadap merpati bermula empat tahun lalu apabila membela empat pasang merpati sebagai aktiviti mengisi masa lapang dan kini lebih 300 ekor burung merpati hiasan pelbagai spesies diternak di belakang rumahnya.
“Saya hanya menyedari potensi pasaran burung merpati hiasan selepas hampir setahun memeliharanya apabila ramai peminat merpati hiasan datang membeli merpati yang saya pelihara dengan menawarkan harga yang tinggi.
“Saya mampu memasarkan sekitar tiga hingga 10 pasang merpati setiap bulan dengan harga di antara RM30 hingga RM250 sepasang bergantung kepada spesies, saiz dan bentuk fizikal termasuk warnanya,” katanya.
Menurutnya, burung merpati membiak dengan cepat dimana seekor induk mampu bertelur dan menetaskan telur tiga kali dalam tempoh dua bulan yang boleh menghasilkan enam ekor anak selain kadar kematian anaknya yang kurang daripada 10 peratus.
Selain itu, burung merpati juga tidak mudah diserang penyakit dan setakat ini hanya penyakit puru sahaja yang sering menjangkiti burung merpati sekiranya kebersihan kawasan reban tidak dijaga.
Cuba hasilkan baka baharu
Katanya, di negara ini terdapat kira-kira 300 spesies merpati hiasan dan di antara spesies yang sentiasa mendapat harga tinggi hingga mencecah belasan ribu ringgit seekor adalah spesies Gaditano dan Norwich Cooper yang merupakan baka Eropah.
“Ketika ini saya sedang mencuba untuk menghasilkan baka kacukan baharu daripada beberapa spesies merpati yang saya miliki dan berharap usaha saya ini akan membuahkan hasil bagi mendapatkan burung merpati yang mempunyai ciri-ciri lebih menarik.
“Walaupun setakat ini usaha tersebut belum berjaya, namun sudah ada petanda positif apabila ada antara spesies yang saya kurung bersama sudah mula mengawan dan bertelur. Hsilnya akan diketahui apabila anak-anak tersebut matang dalam tempoh beberapa bulan,” katanya.
Katanya, dia kini memiliki kira-kira 10 spesies merpati hiasan seperti Indian Fantail.Friliback, Jacobin, Carneau, Cumulet serta Modena dan sedang berusaha untuk menambah jumlah spesies terutama baka yang sentiasa mendapat harga pasaran tinggi seperti Gaditano.
“Menternak burung merpati juga tidak memerlukan kawasan yang luas serta serta modal yang banyak, mencukupi dengan reban yang kecil sahaja selain kawasan sekitar boleh di tanam dengan pelbagai tanaman seperti sayur-sayuran.
“Bagi tidak membazirkan kawasan, saya turut menanam 180 rumpun kunyit, 200 rumpun bunga kantan, buluh madu dan pucuk manis sebagai sumber pendapatan tambahan serta usaha mewujudkan suasana semulajadi di sekitar reban,” katanya.
Berkongsi minat dengan jiran
Rata-rata jiran yang ditemui mengakui tidak pernah merasa terganggu dengan tindakan Sham Idris menternak burung merpati, sebalik mereka menyokong usaha tersebut kerana kebanyakan mereka mempunyai minat yang sama.
Bagi Tukiran Ahmad Paijo, 52, yang berjiran dengan Sham menyifatkan minat dan usaha jirannya itu mampu merapatkan hubungan dengannya yang turut menternak itik di kawasan terbiar di belakang rumahnya.
“Selain saya berpeluang ‘bermain’ dengan merpati peliharaannya, dia juga tidak keberatan untuk membantu menjaga itik peliharaan saya setiap kali saya dan keluarga tiada di rumah untuk tempoh yang lama.
“Tidak seperti merpati yang selalu saya lihat gemar terbang dan merayau jauh dari reban, merpati yang dipelihara Sham tidak merayau dan lebih suka berkeliaran di sekitar kawasan rebannya sahaja,” katanya.
Rakannya, Basharuddin Atan, 46, pula berkata, dia sering menghabiskan waktu petangnya selepas bekerja di rumah Sham kerana sudah mula ‘jatuh hati’ dan suka melihat pelbagai keletah burung merpati tersebut terutamanya ketika burung -burung berkenaan diberi makan.
Menurutnya, dia juga sedang belajar selok belok untuk membiak dan mengenali spesies serta ciri-ciri burung merpati yang bernilai tinggi daripada Sham sebelum dia bersedia untuk mengikut jejak rakannya itu menternak merpati hiasan.
Ibu Sham, Rubiah Tutik, 81, berkata dia sentiasa menyokong usaha anak ketiga dari lima adik beradik itu untuk membiak merpati hiasan walaupun kurang yakin terhadap pasaran burung tersebut pada peringkat awalnya.
“Namun selepas jumlah burung semakin bertambah dan ramai peminat merpati yang datang untuk membeli burung perhiasan tersebut, saya mula yakin bahawa usaha ini mempunyai masa depan yang cerah dan boleh dijadikan sumber pendapatan lumayan.
“Sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan usaha anak saya ini terus berkembang ke perkngkat yang lebih tinggi bukan sahaja mampu menjadi pembekal merpati hiasan sahaja, malah sebagai seorang pengeluar baka kacukan baru merpati hiasan,” katanya.
Comments
Sy Cari burung merpati Ada ke
Sy Cari burung merpati murah